Berita UtamaDunia

Sudan khianati Palestin normalisasi hubungan Israel

Trump dakwa Palestin juga bakal jalin hubungan dengan Zionis

KHARTOUM, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Sudan mengambil langkah yang dikecam oleh rakyat Palestin apabila mengikut jejak Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menormalkan hubungan dengan negara pengganas Israel.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di White House, semalam.

Serentak dengan pengumuman itu, Trump telah mengeluarkan Sudan daripada senarai negara penaja keganasan, membebaskan bantuan ekonomi dan pelaburan.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan ketiga-tiga negara, para pemimpin bersetuju untuk menormalkan hubungan antara Sudan dan Israel bagi mengakhiri pertelingkahan di antara mereka.

“Delegasi akan bertemu dalam beberapa minggu akan datang. Negara-negara itu akan membincangkan isu pertanian, penerbangan dan migrasi,” katanya.

Tarikh khusus untuk perbincangan masih belum diumumkan.

Trump berkata, beliau menjangkakan Palestin dan negara-negara lain, termasuk Arab Saudi juga setuju untuk menjalin hubungan yang lebih erat dengan Israel pada masa akan datang.

“Ini akan menjadi negara ketiga di mana kita melakukannya – dan akan ada banyak lagi,” katanya.

Khartoum kini menjadi negara Arab ketiga yang menormalkan hubungan dengan Israel selepas UAE dan Bahrain kira-kira dua bulan lalu.

Peningkatan negara Arab menormalkan hubungan dengan Israel dikutuk rakyat Palestin, yang melihatnya sebagai pengkhianatan terhadap perjuangan mereka.

Daripada segi sejarah, negara-negara Arab menetapkan rundingan damai dengan Israel berhubung penarikan diri dari wilayah yang dijajah dalam perang 1967 dan penubuhan negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button