Berita Utama

Belanjawan 2021 amat penting kepada rakyat

Tangani wabak COVID-19 dan pulihkan ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 8 Rabiulawal 1442H, Ahad – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat.

Menurut baginda, Belanjawan 2021 itu amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Menurut Ahmad Fadil, sesungguhnya, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian COVID-19 di negara ini.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, kita mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 Nov ini pada sidang Parlimen. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button