Berita Utama

Darurat boleh selesaikan krisis politik, kesihatan ketika ini

Lebih baik teruskan kerajaan sekarang sampai COVID-19 pulih

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Ahad – Cadangan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengisytiharkan darurat dalam usaha mengekang COVID-19 penting – memandangkan keadaan politik negara ketika ini tidak begitu stabil.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, persengketaan politik yang dahsyat sememangnya memerlukan gencatan politik.

“Semua pihak tiada kuasa berpolitik seperti biasa apabila berlaku darurat dan kerajan sedia ada boleh urus negara tanpa ada gangguan.

“Ini terutamanya bagi menyelesaikan krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19, krisis ekonomi akibat ekonomi dunia yang lembab dan kesan daripada pandemik itu.

“Krisis politik juga tidak dapat dinafikan menjejaskan urus tadbir negara dan beri kesan tak baik untuk bangunkan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Baru-baru ini, spekulasi bertiup kencang bahawa Muhyiddin dan jemaah Kabinet bersetuju untuk mengisytiharkan darurat di tengah-tengah ketidaktentuan politik dan pandemik COVID-19.

Desas-desus dakwaan itu mencetuskan rasa panik dan kebimbangan rakyat keseluruhannya ketika ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara petang ini.

Difahamkan mesyuarat tersebut dijadualkan bermula pada 2.30 petang dan hanya melibatkan raja sahaja.

Meskipun terdapat dakwaan segelintir pihak pengisytiharan darurat bagi menyelamatkan kuasa politik pentadbiran, namun ia juga penting tatkala beberapa pihak cuba mengambil kesempatan dalam keadaan politik tergugat – yang memberi kesan tidak baik untuk kerajaan meneruskan pemerintahan, kata Prof Kok Seong.

Beliau berkata, jalan terbaik ketika ini adalah dengan membubarkan Parlimen, tetapi ia tidak mungkin berlaku disebabkan penularan COVID-19 yang dahsyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Kalau PH (Pakatan Harapan) memerintah dan menghadapi keadaan sebegini, saya rasa PH pun akan alami perkara sama – tidak lari dari tuduhan untuk terus berkuasa.

“Rakyat tidak peduli siapa yang memerintah dan menerajui (negara). Maksudnya dari segi ekonomi kalau kerajaan lain yang ambil alih, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh mereka.

“Lebih baik teruskan kerajaan sekarang sampai habis tempoh (COVID-19). Sekurang-kurangnya mereka sudah tadbir dalam keadaan mendesak dari segi ekonomi dan politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button