Berita Utama

Darurat: Niat kawal kerosakan akibat COVID-19 perlu jelas, bukan sebab politik

Boleh dipertimbangkan juga atas alasan 'ketenteraman awam

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Ahad – Sekiranya darurat dikuat kuasakan, niat mengawal kerosakan lebih besar akibat COVID-19 perlu jelas, paling penting bukan didorong oleh sebab lain – terutama politik.

Ancaman disebabkan wabak COVID-19 sememangnya sesuatu yang tidak dijangka, bahkan tiada sebuah negara di dunia dilaporkan bersedia dan terselamat daripada virus itu apabila merebak aktif awal tahun ini.

Selepas hampir 10 bulan, rakyat dan negara ini masih terus komited dengan keazaman kuat menghadapi bencana COVID-19 dan usaha ini memerlukan sistem politik yang stabil dan mantap.

Professor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr Nasarudin Mohammed berkata, keutuhan ekonomi perlu diperkasakan, manakala kecekapan dan kelancaran pengoperasian kesihatan awam perlu diyakini sepenuhnya.

“Rakyat perlu diyakinkan untuk tidak berasa janggal dan resah jika keputusan eksekutif untuk mengisytiharkan darurat benar-benar berlaku,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai spekulasi kemungkinan darurat dilaksanakan, Dr Nasarudin berkata, ia boleh dipertimbangkan juga atas alasan ‘ketenteraman awam’.

Beliau menjelaskan, darurat di negara ini bermula ketika zaman pentadbiran Inggeris atas pertimbangan ‘keselamatan dan ekonomi’, seperti yang berlaku di seluruh negara pada 1948 dan skala lebih kecil di Tanjung Malim pada 1952.

Bagaimanapun, evolusi Perlembagaan negara ini melalui beberapa tahap membabitkan pindaan, terutamanya seperti yang dibuat terhadap Perkara 150 misalnya pindaan 31 Mei 1960, 16 September 1963, 20 September 1966 (pindaan sementara) dan 14 Mei 1981.

“Sehingga itu, pertimbangan ‘keselamatan dan ekonomi’ kemudian ditambah dengan pertimbangan ‘ketenteraman awam’.

“Dengan kata lain, dakwaan bahawa darurat hanya boleh diisytiharkan atas sebab keselamatan daripada anasir subversif atau ancaman keganasan terhadap kedaulatan negara adalah sesuatu yang relevan dan terpakai pada masa lampau semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, Nasaruddin menjelaskan bahawa Australia pernah melalui tempoh pemerintahan darurat susulan deadlock – situasi apabila sesebuah kerajaan tidak berupaya untuk terus beroperasi akibat berlaku pertelagahan yang tidak berjaya diselesaikan khususnya antara kerajaan dengan pembangkang.

Beliau berkata, situasi itu mengakibatkan pemimpin mengalami constitutional impasse atau jalan mati, tetapi tidak mahu meletak jawatan atau membubar Parlimen.

Tambahnya, ketika di bawah pemerintahan Indira Ghandi, India turut melalui zaman darurat susulan keengganan beliau menerima keputusan mahkamaha yang mengisytiharkannya melakukan kesalah pilihan raya.

“Hari ini, bukan Perdana Menteri sahaja yang diuji dengan tekanan politik, malah seluruh negara turut diduga dengan persoalan kemantapan politik negara.

“…mengenai bagaimana Perlembagaan Persekutuan khususnya berupaya meneruskan semangat serta falsafah kedaulatan undang-undang demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button