Berita Utama

PEMBELA sokong kebijaksanaan Agong runding dengan Raja-Raja Melayu

Bersangka baik permintaan Jemaah Menteri untuk isytihar darurat demi kesejahteraan rakyat

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Ahad – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menyokong penuh kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi memperhalusi cadangan dikemukakan Perdana Menteri.

PEMBELA – gabungan lebih 100 pertubuhan Islam bukan kerajaan – bersangka baik dengan permintaan Jemaah Menteri kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat demi kesejahteraan rakyat. 

Paling penting, tujuannya untuk mengelakkan mana-mana pihak berkepentingan menangguk di air keruh demi melindungi salah laku masing-masing.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kuasa eksekutif sebenar bagi Malaysia adalah terletak pada Agong menurut prerogatif dan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, PEMBELA berdiri teguh dengan kebijaksanaan YDPA serta Majlis Raja-raja untuk mencapai keputusan terbaik demi negara tercinta, termasuklah mengeluarkan titah-titah yang wajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Haji Aminuddin meminta umat Islam di negara ini untuk mendoakan kestabilan negara dapat dicapai melalui landasan Islam.

“Semua ahli gabungan PEMBELA serta umat Islam keseluruhannya diajak sama-sama mendoakan ke hadrat Allah supaya maslahah negara serta rakyat jelata dirungkai berlandaskan ajaran Islam,” katanya.

Ketika ini, Al-Sultan Abdullah sedang mengadakan rundingan bersama Raja-Raja Melayu bagi  memperhalusi cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin antaranya termasuk pengisytiharan darurat.

Rundingan ini dibuat selepas Perdana Menteri mengadap Sultan Al-Abdullah di Istana Abdulaziz, Kuantan pada Jumaat lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button