Berita Utama

Rakyat lega darurat tak dilaksana

Gesa pemimpin henti politik sempit, patuh amanat Agong

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Ahad – Keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tidak mengisytiharkan darurat – selepas mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu – memberi kelegaan buat rakyat. 

Di media sosial, rata-rata netizen memuji kebijaksanaan Agong membuat keputusan sedemikian demi kebaikan semua pihak, terutama dalam keadaan negara dan petugas barisan hadapan bertungkus lumus mengawal penularan pandemik COVID-19. 

Gembira dengan titah itu, salah seorang pengguna Facebook, Sumbin Gumbaris mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Al Sultan Abdullah kerana membuat keputusan dengan penuh kebijaksanaan demi rakyat.

“Ampun tuanku Agong. Tahniah kami rakyat ucapkan kepada Tuanku yang bijaksana kerana menolak darurat yang dipersembah Perdana Menteri. 

“Tahniah sekali lagi kami rakyat ucapkan kerana Tuanku berasa belas kasihan kepada rakyat jelata,” katanya.

Pengguna bernama Maz Zri pula meluahkan rasa lega selepas Agong mengumumkan bahawa tiada sebarang keperluan untuk negara diisytiharkan darurat.

Justeru, sebagai rakyat marhaen, dia menyeru setiap parti politik untuk bersatu melangkaui perbezaan antara satu sama lain demi matlamat yang lebih besar.

“Alhamdulillah rasa lega. Jom kerajaan dan pembangkang bersatu ketepikan ideologi pokitik untuk kesejahteraan rakyat dan keamanan negara. Seterusnya dapat mengawal penularan COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Nora Aini menyifatkan keputusan Agong adalah satu keputusan yang amat tepat dan, menggesa ahli politik mengamati titah Baginda untuk menghentikan ‘politicking’

“Alhamdulliah di atas kebijaksanaan kebawah duli Tuanku telah membuat satu keputusan yang amat tepat sekali. 

“Wahai orang politik, tolonglah dengar sedikit alamat YDPA. Hentikanlah politik sempit yang anda bawa pada rakyat Malaysia,” katanya.

Pengguna dengan nama Himir Kudo pula bimbang ahli-ahli politik tetap tidak akan berdiam diri selagi tidak berjaya mendapatkan kuasa.

“Jelas, tindak tanduk mereka membelakangkan rakyat. Semuanya gila kuasa dan kroni. Kami rakyat berharap pada intitusi Raja-Raja Melayu sahaja sekarang

“Kalau sultan-sultan, Agong tak wujud, mahu rosak negara bergolak dijahanamkan ahli politik dan huru hara tunjuk perasaan rakyat,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan untuk tidak mengisytiharkan darurat dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara. 

Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak COVID-19 ini dengan baik dan berkesan. 

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini daripada merebak,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pada masa yang sama, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ (mainan politik) yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button