Berita Utama

Serah kembali kuasa pada Agong jika PM sudah tiada majoriti

Tak perlu isytihar darurat jika hanya untuk tujuan politik

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Ahad – Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak mempunyai majoriti atau mengalami gangguan politik yang gila kuasa, beliau sepatutnya menyerahkan semula kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong, bukannya mencadangkan ‘darurat’.

Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, sekiranya darurat yang diusulkan Perdana Menteri hanya kerana keselamatan kesihatan, sepatutnya dilaksanakan sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tetapi, jika laksanakan darurat politik, tidak setuju. Jika kerajaan lantikan Yang di-Pertuan Agong, sudah tidak mampu mentadbir, serahkan semula kepada Agong, bukannya usulkan darurat,” katanya kepada Ismaweb.net.

Sekiranya Agong mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan Malaysia semula daripada kerajaan lantikan sedia ada, Baginda sudah boleh mentadbir kerajaan Malaysia tanpa campur tangan politik.

Noor Izzat atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat berkata, untuk menguruskan bencana wabak COVID-19, Agong sudah mempunyai Ketua Pengarah Kesihatan terbaik dunia, Tan Sri Dr Noor Hisham dan pasukannya. 

Manakala, untuk urusan kewangan negara pula, Baginda sudah mempunyai Menteri Kewangan terbaik dan telus, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pasukannya.

“Jika ingin menguruskan pelaburan dan ekonomi negara, Agong sudah ada Menteri Usahawan yang terbaik menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, seorang Menteri yang terus fokus membantu usahawan dan koperasi.

“Jika mahu memastikan keselamatan negara, Agong sudah mempunyai Menteri Pertahanan yang bijak merangka strategi dan boleh bekerjasama dengan Panglima Angkatan Tentera.

“Untuk memastikan keharmonian dan penguatkuasaan, Agong boleh melantik Datuk Ayob Khan sebagai Ketua Polis Negara, di atas kewibawaan dan mempunyai tahap integriti yang tinggi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Agong mempunyai kuasa untuk menguruskan pentadbiran kerajaan Malaysia tanpa perlu ahli politik yang berkepentingan mahu merebut, memegang kuasa untuk kepartian.

Sehubungan itu, jika darurat yang diusulkan adalah tujuan ‘langkah politik’, beliau berpandangan bahawa Muhyiddin sedang ‘menyalahgunakan kuasa’ yang telah diamanahkan oleh Agong.

“Sekali lagi saya ulang, jika Muhyiddin sudah merasakan tiada majoriti lagi, Muhyiddin wajar menyerahkan kembali amanah kepada Agong. Bukannya usulkan darurat kepada Agong,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button