Si tanggang moden masih wujud, tak jenguk ibu bapa di kampung
Hantar ibu bapa ke pusat jagaan bukan norma Melayu Islam

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Ahad – Budaya sesetengah golongan yang menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua bukan norma dalam masyarakat Melayu Islam.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, biar apa pun alasan diberikan, tempat ibu bapa khususnya yang telah uzur adalah di sisi anak-anak.
Katanya, tiada yang dapat menandingi jasa ibu bapa yang membesar dan mendidik anak-anak sehinga mereka berjaya di dunia.
Manakala, katanya, kejayaan di dunia pula seharusnya dijadikan jambatan kepada kejayaan di akhirat kelak.
“Keperluan duniawi dan ukhrawi perlu diseimbangkan supaya neraca kejayaan nanti benar-benar membuahkan kecemerlangan dunia dan akhirat,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.
Datuk Zainul Rijal menasihatkan, sementara ibu bapa masih ada, anak-anak disarankan untuk memberi khidmat terbaik, supaya suatu hari nanti mereka tidak menyesal sekiranya tidak lagi dapat membantu kedua-dua ibu bapa.
Sebelum terlambat, anak-anak juga dinasihatkan untuk menggunakan peluang dan ruang yang ada bagi menebus segala kesilapan yang telah dilakukan.
Jelasnya, kisah lagenda Si Tanggang yang disumpah oleh ibunya disebabkan penderhakaannya sudah cukup menjadi sempadan.
Katanya, masih terdapat ramai ‘Si Tanggang moden’ yang muncul pada masa kini, di mana mereka hanya mengejar kekayaan dan harta di kota, manakala ibu bapa ditinggalkan di kampung dan langsung tidak dijenguk walau seketika.
“Makan minum dan sakit peritnya langsung tidak diambil perhatian oleh sesetengah anak-anak yang begitu lena dengan kelunakan kehidupan kota,” katanya kesal.