Berita Utama

12 warga China ditahan tipu pelaburan saham

Bayar gaji antara RM2,500 - RM4,000 sebulan kepada ahli

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulawal 1442H, Isnin – Seramai 12 warga China termasuk dua wanita disyaki terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian yang menyasarkan pelabur dari negara berkenaan, ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di ibu negara, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata mereka yang ditahan berusia 23 hingga 37 tahun dengan sembilan daripada mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak tahun lepas dan kerap berpindah randah dengan menjadikan kondominium dan hotel mewah sekitar Lembah Klang sebagai pusat operasi.

“Mereka mempromosi dan mempengaruhi pelabur menggunakan skrip diberi ketua sindiket melalui aplikasi WeChat di mana mereka boleh menunjukkan keadaan pasaran saham semasa.

“Pada masa ini, tiada laporan mengaitkan sindiket ini dalam kalangan rakyat tempatan dengan mereka menggunakan fungsi WeChat Pay dan Alipay pada aplikasi tersebut untuk berurus niaga dengan pelanggan dari China tanpa bersemuka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata sindiket itu mampu membayar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan kepada setiap ahlinya dan mereka juga mampu menyewa hotel dan kondominium mewah dengan bayaran RM9,000 sehingga RM13,000 sebulan.

Zainuddin berkata kesemua suspek kini direman bermula Sabtu lalu sehingga esok dan polis akan membuat permohonan melanjutkan tempoh reman tersebut.

Selain tujuh unit komputer riba dan 125 unit telefon bimbit, polis turut merampas wang tunai asing bernilai RM28,144, katanya

Berikutan itu, beliau berkata polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan dipercayai mengawal sindiket berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, Seksyen 6(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1958/1963 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 617 individu ditahan menerusi 60 serbuan berhubung kegiatan jenayah menggunakan pusat panggilan di seluruh negara bermula awal Januari sehingga Jumaat lalu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button