Berita Utama

Akur titah YDPA, hentikan politik rakus demi kepentingan watan

Syor darurat angkara sikap tamak parti komponen PN sendiri

BANGI, 8 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pemimpin di pihak kerajaan mahupun pembangkang mesti menghentikan segala kerakusan tindakan politik – seterusnya akur keputusan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) melalui mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Serentak itu, pihak kerajaan perlu menggunakan peluang daripada keputusan YDPA – tidak mengisytiharkan darurat – untuk melaksanakan segala tindakan yang memfokuskan kepada perancangan membangunkan watan. 

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, tindakan tamak mahukan jawatan menteri didominasi oleh parti tertentu di dalam kerajaan sebenarnya punca kepada ketidakstabilan negara hari ini.

Bahkan, persetujuan Kabinet mencadangkan darurat tercetus daripada tindakan segelintir pimpinan parti komponen di dalam Pakatan Nasional (PN) itu sendiri.

Justeru, mereka diingatkan supaya tidak bertindak seperti baling batu sembunyi tangan. 

“Segala tindakan mencaturkan politik kepartian sehingga membelakangkan kepentingan watan akan menggambarkan bahawa pihak kerajaan tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Raja Raja.

“Kepada pihak pembangkang, mereka juga mesti akur keputusan mesyuarat Majlis Raja Raja. Keharmonian dan kesejahteraan rakyat perlu diangkat menjadi keutamaan. 

“Pihak pembangkang tidak boleh mencetuskan kegusaran rakyat dengan mengambil peluang tidak menyokong Belanjawan 2021 yang dibentangkan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini, selepas permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diperhalusi bersama rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan bahawa baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera ‘politicking’ yang menganggu kestabilan pemerintahan negara.

Menjunjung titah baginda, Dr Badhrulhisham menyifatkan keputusan Al-Sultan Abdullah menggambarkan Yang di-Pertuan Agong sangat mementingkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, YDPA amat merasai denyutan nadi rakyat jelata dalam keadaan kebimbangan dengan ujian COVID-19 yang sedang berlaku sekarang.

“Justeru, BERJASA meminta kepada semua pimpinan parti politik dan rakyat supaya sentiasa menghormati Perlembagaan sedia ada sebagai tiang seri watan ini.

“Institusi raja adalah payung negara yang sentiasa dijulang dalam memartabatkan watan berdaulat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button