Berita Utama

Belanjawan 2021 titik pertemuan henti pertelagahan

Akur titah Seri Paduka supaya fokus selamatkan negara, rakyat

BANGI, 9 Rabiulawal 1442H, Isnin – Pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan pada awal November ini perlu dijadikan sebagai titik pertemuan baik buat semua ahli politik supaya menghentikan pertelagahan sesama mereka.

Kini sudah tiba masanya mereka yang bergelar Yang Berhormat menanggalkan baju politik di luar dewan Parlimen dan memberi keutamaan kepada usaha memenuhi tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat. 

Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad mengingatkan, ahli-ahli politik supaya akur kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak memberi fokus pada usaha menyelamatkan negara dan memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

“Tidak patut ada mana-mana pihak bertindak bak hero dek di sebalik keputusan ini, sedangkan hakikatnya merekalah antara dalang ketidaktentuan politik yang kita baharu sahaja terselamat ini. 

“Kerana kuasa dan perut ahli politik, rakyat merana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Hazwan menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu berkenaan ketidakperluan kepada pengisytiharan darurat, semalam.

“Majlis Raja-Raja Melayu telah dengan taufiq dan inayahNya menimbang segala maslahah dan mafsadah atas ketidaktentuan situasi politik yang berlaku dalam negara Malaysia kini. 

“Sesungguhnya telah terbukti bahawa dengan hikmah dan kebijaksaan lembayung kuasa sistem Raja Berperlembagaan, Malaysia tetap kekal aman, sejahtera dan harmoni,” katanya.

Justeru, beliau menggesa setiap ahli politik untuk taat akan titah Seri Paduka sekiranya benar rakyat menjadi keutamaan dalam agenda parti masing-masing.

“Rakyat amat mengharapkan sebuah persidangan yang matang, profesional dan hikmah kali ini. Bukan lagi seperti sebuah kandang binatang ternakan yang hilang kawalan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button