Berita Utama

Bubar Parlimen tak disentuh dalam Mesyuarat Khas Kabinet

'Ia tidak dibangkitkan, tidak dibincangkan': Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulawal 1442H, Isnin – Isu pembubaran Parlimen langsung tidak dibangkitkan pada Mesyuarat Khas Kabinet hari ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia tidak dibangkitkan, tidak dibincangkan,” katanya menjawab soalan pemberita pada sidang media perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini hari ini.

Menteri Pertahanan itu berkata demikian sebagai menjawab dakwaan kononnya beliau bersama ahli kabinet lain akan mencadangkan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mencadangkan pembubaran Parlimen.

Ini susulan tular satu tangkap layar perbualan dalam satu kumpulan yang menunjukkan kononnya Ismail Sabri memaklumkan ketua-ketua UMNO Bahagian bahawa beliau dan rakan lain dalam Kabinet akan mencadangkan pembubaran Parlimen hari ini.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat khas lebih dua jam bersama Jemaah Menteri di Perdana Putra, Putrajaya, menyusuli titah Al-Sultan Abdullah semalam bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button