Berita UtamaIstimewa

Kerajaan dianggap dayus jika gagal tangani masalah pekebun haram!

Ambil tindakan tegas terhadap penceroboh, jangan ‘double standard’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 9 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kerajaan ketuanan Melayu Pahang dianggap sebagai dayus dan penakut jika gagal menangani masalah pekebun durian haram yang dialaminya.

Ini kerana kes pencerobohan di Sungai Ruan dan Chalit yang melibatkan 4,400 hektar adalah penanda aras kepada banyak lagi kes ceroboh tanah melibatkan ratusan ribu ekar di seluruh daerah di negeri Pahang sejak puluhan tahun lalu.

Oleh yang demikian, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) mendesak, kerajaan negeri bertegas dengan penceroboh tanah haram di Raub tanpa sebarang kompromi.

Naib Pengerusinya, Ustaz Masridzi Sat menegaskan, jika kerajaan negeri berkompromi dan melayan kehendak pekebun haram berkenaan, maka di mata masyarakat pentadbir akan dilihat sebagai tidak menghormati undang-undang dan mengamalkan sikap ‘double standard’.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat peribumi serta banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memantau rapat kes ini.

“Bahkan, kes pencerobohan Tanah Rizab Melayu dan kerajaan negeri ini sudah serius berlaku di seluruh negara. 

“Kumpulan penceroboh yang dibantu oleh kumpulan politik, mereka begitu berani berjuang untuk mendapatkan apa yang mereka dakwa sebagai hak mereka. 

“Takkan kerajaan ketuanan Melayu yang ada kuasa boleh menjadi dayus dan penakut nak pertahankan hak negeri dan Bumiputera?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Masridzi berkata, kegagalan kerajaan negeri mempertahankan hak tanah yang diceroboh hanya akan menimbulkan pelbagai persepsi buruk daripada rakyat peribumi.

Dakwanya, kerajaan negeri akan dilihat sebagai entiti yang tidak lagi boleh diharap untuk menghapuskan jenayah pencerobohan tanah haram.

“Rakyat akan melihat budaya rasuah dan salah guna kuasa, kumpulan kroni yang berkepentingan bersama penceroboh terus mengaut keuntungan hasil bumi negeri Pahang.

“Rakyat peribumi berputih mata, kumpulan kroni Melayu yang bersubahat dapat kuah, penceroboh dan pengusaha asing yang banyak duit akan mengaut gulai keuntungannya,” dakwanya lagi.

Tidak mahu membiarkan perkara itu berlaku, Masridzi mengingatkan, agar kerajaan dapat segera menghapuskan dan mendakwa penceroboh di Raub dengan tegas.

“Kaji semula status syarikat-syarikat yang memajak atau menceroboh tanah kerajaan. Pendedahan demi pendedahan telah pun dibuat.

“Lambat laun rakyat akan tahu juga siapa sebenarnya dalang di sebalik pencerobohan ini. Oleh itu, bertindaklah dengan berani dan tegas sementara masih ada kuasa yang dipinjamkan oleh Allah SWT di dunia ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap keputusan mahkamah kelak akan memberi kemenangan kepada pihak kerajaan negeri Pahang, sekali gus dapat menegakkan keadilan undang-undang dan menghukum penceroboh.

“Diharapkan keputusan mahkamah dapat memberikan sinar harapan kepada rakyat peribumi. 

“Jika keputusan sebaliknya berlaku maka rakyat berhak untuk menyalahkan pihak kerajaan,” katanya.

BERITA BERKAITAN:

Pahang halalkan kebun haram? Rata-rata pekebun setuju

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button