Dunia

Myanmar batal sekatan pada pilihan raya

Benarkan perhimpunan 30 orang atau lebih di tempat mengundi

YANGON, 8 Rabiulawal 1442H, Isnin – Kementerian Kesihatan dan Sukan Myanmar membatalkan sekatan terhadap perhimpunan besar-besaran dan perintah duduk di rumah sempena pilihan raya umum akan datang, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut pengumuman pada Ahad itu, kementerian akan membenarkan perhimpunan 30 orang atau lebih di tempat mengundi pada hari pilihan raya.

Perhimpunan 30 orang atau lebih sebelum ini dilarang di negara ini sejak 12 Ogos untuk mengawal penularan COVID-19.

Sementara itu, kementerian juga mengumumkan penduduk di bandar yang dikenakan arahan duduk di rumah akan dibenarkan pergi ke tempat mengundi masing-masing pada hari pilihan raya.

Setakat ini, perintah duduk di rumah dilaksanakan di semua bandar di wilayah Rakhine dan Yangon, kecuali di Cocokyun, 13 bandar di Mandalay, Bago, wilayah Ayeyarwaddy dan negeri Mon dan Kachin.

Pengecualian kepada pengundi bagi memastikan pilihan raya umum dapat dilaksanakan dengan lancar, kata pengumuman itu.

Pilihan raya umum Myanmar 2020 akan diadakan pada 8 November dan penggal lima tahun pemerintahan Liga Nasional Demokrasi (NLD) akan berakhir pada Mac 2021.

Myanmar melaporkan 44,774 kes COVID-19 dengan 1,095 kematian pada Ahad, menurut angka terbaharu dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan Sukan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button