Dunia

Myanmar janji bawa pulang pelarian Rohingya di Bangladesh

Perbincangan antara Dhaka-Naypyitaw dibuat selepas pemilihan November

DHAKA, 9 Rabiulawal 1442H, Isnin – Myanmar memberitahu China – kononnya negara itu akan membawa pulang pelarian etnik Rohingya yang berlindung di sempadan Bangladesh. 

Kementerian Luar Negeri Bangladesh dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dimaklumkan diplomat tertinggi China, Wang Yi kepada rakan sejawatnya, AK Abdul Momen dalam satu panggilan telefon, baru-baru ini.

“Menteri Luar Negeri China dan Anggota Dewan Negara, Wang Yi mengatakan Myanmar sekali lagi memberi jaminan bahawa akan mengambil kembali pelarian Rohingya pulang ke negara berkenaan,” kata kementerian itu.

Katanya, Myanmar memberitahu China bahawa negara itu akan segera mengadakan perbincangan dengan Bangladesh mengenai pemulangan pelarian Rohingya.

Wang berkata, Beijing tetap berhubung dengan Myanmar mengenai krisis Rohingya, sekali gus meyakinkan Momen bahawa perbincangan di antara Dhaka dan Naypyitaw akan diadakan setelah pemilihan Myanmar pada bulan November, kata kementerian. 

“Ia akan diikuti dengan pertemuan tiga pihak antara China,  Bangladesh dan Myanmar.

“Pada masa sama, panggilan telefon berkenaan turut membincangkan isu-isu lain antara China dan Bangladesh, termasuk vaksin COVID-19 dan pemulihan ekonomi pasca wabak,” kata kementerian.

Etnik minoriti Islam Rohingya ditindas kejam oleh kerajaan Myanmar.

Hampir sejuta pelarian Rohingya melintasi sempadan kerana melarikan diri daripada kempen pembunuhan beramai-ramai di negeri Rakhine.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa, Rohingya hidup dalam sengsara, sambil menambah lebih 40,000 struktur dimusnahkan dalam operasi kejam kerajaan pada 2017. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button