Berita Utama

Polis Johor tak tolak kemungkinan wujud rangkaian seludup pendatang

'Kita akan siasat sama ada pegawai, penguat kuasa bersekongkol'

JOHOR BAHRU, 9 Rabiulawal 1442H, Isnin – Polis Johor tidak menolak kemungkinan wujudnya rangkaian penyeludupan pendatang tanpa izin yang baharu berikutan masih terdapat cubaan untuk membolosi perairan negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata ini ekoran penangkapan seramai 56 individu terdiri daripada 17 tekong dan 39 pendatang tanpa izin melalui Op Benteng di kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat sejak 1 Sept sehingga semalam.

“Masih terdapat pembolosan pendatang haram dari Indonesia jadi mungkin ada rangkaian baharu yang berjaya diwujudkan untuk membolosi perairan negara.

“Kita akan siasat sama ada terdapat penglibatan pegawai dan penguat kuasa yang bersekongkol dalam kegiatan ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata untuk rekod, sejak 22 April sehingga semalam, seramai 537 pendatang tanpa izin telah ditahan dalam operasi sama yang dijalankan Kontinjen Johor.

“Daripada jumlah ini, seramai 439 ditangkap di sekitar pantai timur Johor dan 98 orang lagi di kawasan pantai barat negeri. Turut dirampas adalah sebanyak 42 kenderaan dan sembilan bot,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 44 kertas siasatan dibuka dengan 40 daripadanya telah dituduh manakala empat masih dalam siasatan pihaknya.

Menurutnya, polis akan memperketatkan lagi kawasan kemasukan pendatang tanpa izin melalui laluan tidak sah dengan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

“Polis Johor beri amaran keras, tindakan berterusan akan diambil ke atas sindiket penyeludupan migran yang cuba menyeludup masuk ke negara ini khususnya melalui Johor,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button