1,780 pesakit di Turki kritikal akibat COVID-19
75 angka korban baharu, jumlah jangkitan kini 363,999 kes

ANKARA, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Turki merekodkan 2,198 kes baharu wabak COVID-19 dalam tempoh 24 jam terakhir.
Menurut data Kementerian Kesihatan pada Isnin, jumlah jangkitan wabak di negara itu kini mencecah 363,999 kes.
Sementara itu, 1,618 pesakit baharu telah pulih dalam tempoh sama, menjadikan jumlah pulih sebanyak 316,000 kes, sementara jumlah kematian setakat ini 9,874 orang termasuk 75 angka korban baharu.
Selain itu, lebih 132,913 ujian saringan COVID-19 telah dijalankan di seluruh negara, menjadikan jumlah keseluruhan lebih dari 13.3 juta.
Kementerian Kesihatan turut melaporkan seramai 1,780 orang berada dalam keadaan kritikal, dengan lima peratus daripada jumlah itu menderita radang paru-paru.
Menteri Kesihatan Fahrettin Koca dalam ciapan di laman Twitter berkata, jumlah pesakit aktif dan kritikal terus mencatatkan peningkatan.
Di seluruh dunia, COVID-19 telah meragut lebih 1.15 juta nyawa di 189 negara dan wilayah sejak Disember lalu.
Menurut angka dikumpul Universiti Johns Hopkins AS, lebih 43.18 juta kes COVID-19 telah dicatatkan di seluruh dunia, dengan angka pemulihan sebanyak 29 juta.
Amerika Syarikat (AS), India dan Brazil pada masa ini adalah antara tiga negara paling teruk dilanda wabak berkenaan. -Agensi