Berita Utama

Ahli Parlimen perlu sokong Belanjawan 2021

Penting untuk tangani wabak, pulihkan ekonomi negara

KUALA LUMPUR, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kesemua Ahli Parlimen perlu menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyokong Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen pada 6 November ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, sokongan tersebut penting kerana Belanjawan 2021 diperlukan dalam usaha melawan pandemik COVID-19 dan memastikan kelangsungan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Apa yang kita nak sampaikan kepada semua Ahli Parlimen ialah isu politik itu adalah (cuma isu) di antara mereka, tetapi apa pun yang berlaku mereka perlu memastikan bahawa negara mempunyai peruntukan mencukupi.

“Sehingga hari ini, kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk melawan COVID-19, dan sekarang ini kita berhadapan dengan gelombang ketiga, jadi saya percaya kita perlu menyediakan peruntukan mencukupi,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara bertajuk ‘Titah Agong Amanat Dijunjung’ yang disiarkan di Bernama TV, malam tadi.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menegaskan, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat.

Menurut baginda, Belanjawan 2021 itu amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Tan Sri Noor Azlan berkata, semasa gelombang pertama wabak COVID-19, negara telah berjaya mengawalnya malah data ekonomi juga menunjukkan terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi.

Namun, apabila gelombang ketiga berlaku, aktiviti ekonomi negara sekali lagi terkesan, katanya.

“Keadaan ekonomi secara keseluruhan kini memang terjejas dan banyak segmen dalam masyarakat terkesan akibat COVID-19, terdapat kes kehilangan pekerjaan malah ada juga perniagaan terjejas.

“Tanggunjawab (Ahli Parlimen) tetap kepada rakyat, berilah sokongan (pada belanjawan). Kesejahteraan rakyat merupakan perkara paling penting,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button