Berita UtamaDunia

Arab Saudi kecam karikatur hina Nabi Muhammad ﷺ

Belum ada komen mengenai gesaan boikot produk Perancis

RIYADH, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Arab Saudi mengecam karikatur yang menghina Nabi Muhammad ﷺ serta menolak sebarang kaitan antara Islam dengan keganasan.

Agensi Berita Rasmi Arab Saudi (SPA) memetik sumber Kementerian Luar sebagai berkata, kerajaan mengutuk sebarang tindakan keganasan.

“Arab Saudi meminta supaya kebebasan bersuara seharusnya menjadi mercu tanda untuk saling hormat menghormati, toleransi dan keamanan,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, tidak ada komen dari pihak berkuasa Arab Saudi mengenai gesaan memboikot produk Perancis berhubung penghinaan anti-Islam.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila mendakwa orang Islam sebagai penganut fahaman pemisah dan menuduh Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Ketika ini, gesaan untuk memboikot produk Perancis semakin meningkat di rantau Arab dan negara muslim beberapa hari selepas Macron menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ.

Macron membuat kenyataan itu, Rabu lalu, sebagai mengulas insiden seorang guru, Samuel Paty, yang dipenggal kepala di luar sekolahnya – di pinggir kota luar Paris awal bulan ini.

Kejadian berlaku selepas mendiang Paty menunjukkan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad ﷺ ketika kelas berkaitan kebebasan bersuara.

Terdahulu, tindakan provokasi Charlie Hebdo, sebuah majalah berhaluan kiri Perancis yang menyiarkan karikatur anti-Islam, juga telah mencetuskan lagi kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Karikatur itu pertama kali disiarkan pada 2006 oleh akhbar Denmark, Jylllands Posten, sehingga mencetuskan siri tunjuk perasaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button