Berita Utama

Pesakit COVID-19 di Lembah Klang tak perlu ke CAC jika tiada gejala

Hanya asing diri serta-merta, jalani kuarantin di rumah: KKM

BANGI, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Penduduk di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang disahkan positif COVID-19, tidak perlu ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sekiranya tiada bergejala atau mempunyai gejala ringan.

Sebaliknya, individu yang dijangkiti terbabit hanya perlu mengasingkan diri serta-merta dan menjalani tempoh kuarantin di rumah, kata Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Peraturan terbaharu itu bagi memastikan pesakit tidak perlu menunggu lama di CAC dan individu yang bergejala teruk boleh mendapatkan rawatan segera.

Kementerian itu berkata, pesakit hanya perlu memaklumkan keputusan ujian saringan di aplikasi MySejahtera dan arahan pengawasan di rumah (HSO) digital akan diberikan.

Menurut KKM, dalam tempoh itu, pesakit juga perlu melengkapkan ‘Home Assessment Tool (HAT)’ di MySejahtera dan penilaian kendiri akan dipantau oleh CAC secara maya.

“Pesakit akan dihubungi jika perlu. Pesakit yang perlu ke CAC terdekat untuk penilaian lanjut klinikal akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera atau dihubungi Pusat Panggilan CAC.

“Pesakit perlu segera ke hospital jika gejala menjadi semakin teruk,” kata KKM.

Pesakit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi CAC Call Centre 03-77239299 dari jam 8 pagi hingga 9 malam, atau CPRC Hotline 03-77239300 bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button