Berita Utama

COVID-19: Hantar kandungan digital loghat tempatan kepada masyarakat luar bandar

Ketua kampung, imam perlu mainkan peranan beri nasihat kesihatan kepada komuniti

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kurangnya kesedaran kesihatan menyebabkan wabak COVID-19 yang sedang bermutasi menjangkiti orang awam dengan pantas tanpa memilih darjat dan pangkat.

Justeru, kandungan digital perlu diperbanyak dengan menyasarkan kepada komuniti luar bandar, di samping memberi kesedaran kesihatan lebih baik kepada masyarakat setempat.

Dr Shamsul Arrieya Ariffin mengingatkan bahawa pendekatan untuk masyarakat luar bandar seperti kelompok peribumi tidak boleh disamakan dengan pendekatan kesihatan untuk masyarakat di bandar.

Profesor Madya di Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Univesiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, masyarakat luar bandar sangat berbeza dari segi pendidikan dan kehidupan seharian, yang kebanyakannya memperoleh sumber pendapatan daripada hasil alam sekitar.

“Justeru, kandungan digital disarankan dihantar kepada masyarakat berkenaan menerusi loghat tempatan. Contohnya seperti menggunakan bahasa Kadazan, Murut dan Dusun.

“Penggunaan loghat tempatan lebih dekat di hati mereka dan mudah difahami. Maklumat sebegini jika disediakan dalam bentuk digital seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) akan memberi kefahaman lebih pantas kerana mereka lebih memahami bahasa daerah dipertuturkan.

“Ini penting untuk memastikan kadar literasi kesihatan masyarakat setempat di luar bandar untuk menjaga kesihatan secara kendiri dapat dipertingkatkan,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Selain itu, Shamsul turut menyarankan ketua kampung, imam masjid atau ketua agama bagi masyarakat setempat memainkan peranan dengan memberi nasihat dan penerangan kepada komuniti secara lebih jelas mengenai aspek asas penjagaan kesihatan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan perlu memberi taklimat kepada mereka sebelum menyampaikan maklumat kepada masyarakat setempat.

Katanya, penggunaan pembesar suara juga perlu digiatkan untuk memberi peringatan penjagaan kesihatan bagi mendepani masalah COVID-19.

Jelasnya lagi, perlu ada komuniti tempatan yang dapat menerajui jawatankuasa untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Komuniti luar bandar perlu sentiasa diingat untuk mengelak diri daripada kawasan sempit, melaksanakan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, sentiasa mencuci tangan, duduk di rumah jika tiada kepentingan mustahak untuk keluar, menjaga etika bersin dan batuk serta menggunakan aplikasi MySejahtera untuk kawalan kesihatan kendiri.

“Jika terdapat simptom penyakit, mereka perlu mendapatkan rawatan segera di pusat kesihatan berdekatan. Semakin ditangguh, risiko kematian semakin tinggi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button