Berita Utama

Hina Nabi: Perancis takut seruan boikot Turki

BMF bantu perkasa ekonomi umat Islam di Malaysia

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Perancis nyata terkesan dan takut dengan seruan boikot yang dipelopori Turki serta negara-negara umat Islam yang lain apabila menggesa tindakan sedemikian dihentikan.

Terdahulu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak membeli barangan atau produk yang dikeluarkan dari Perancis.

Erdogan meminta semua rakyat Turki supaya memboikot semua produk dari negara berkenaan – kerana mencetuskan Islamophobia.

Pihak berkuasa Perancis mengecam ‘propaganda’ Turki terhadap Perancis serta menggesa tindakan memboikot produk negara itu segera dihentikan.

Dakwanya, serangan seperti itu adalah kerja ‘minoriti radikal’.

Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, ini adalah bukti mudah tentang pentingnya kesatuan umat Islam dalam mendepani mereka yang menghina dan berniat jahat terhadap orang muslim dan agamanya.

Bagi mengelakkan umat Islam terus ‘dibuli’, beliau menggesa muslim bersatu bukan sahaja daripada sudut akidah, bahkan bidang lain seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

“Umat Islam bukan sahaja harus bersatu dalam bab akidah, bahkan jua dalam bidang yang lain seumpama kerjasama ekonomi, pendidikan, teknologi, dana, politik dan sebagainya.

“Buy Muslim First (BMF) adalah di antara projek mudah yang boleh dilaksanakan, kalau pun tidak sepenuhnya, paling kurang akan membantu memperkasakan ekonomi sebahagian daripada umat Islam di Malaysia contohnya.

“Bersatu kita teguh, bercerai kita dibuli dan dibangsatkan musuh,” katanya menerusi posting di Facebook hari ini.

Sebelum ini, umat Islam mengugut untuk memboikot Presiden Perancis, Emmanuel Macron atas ucapannya awal bulan lalu, yang menuduh agama Islam berada dalam krisis di seluruh dunia.

Mereka turut marah dengan tindakan Perancis yang memberikan penghormatan tertinggi kepada guru, mendiang Samuel Paty yang dipenggal kepalanya setelah menunjukkan beberapa lukisan kartun Nabi Muhammad ﷺ kepada murid di kelasnya, untuk melakukan perbincangan atas dasar hak kebebasan bersuara.

Macron sebaliknya mempertahankan tindakan guru itu dan memberi anugerah khas Légion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan pada 21 Oktober lalu di Universiti Sorbonne dan menganggapnya sebagai ‘hero’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button