ICU di Belgium berisiko lumpuh, purata kes harian cecah 12,500
4,827 sedang jalani rawatan COVID-19, 757 daripadanya dalam ICU

BRUSSELS, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Pegawai kesihatan Belgium memberi amaran risiko peningkatan kes yang dijangka menyebabkan unit rawatan rapi (ICU) penuh dalam tempoh dua minggu.
Ia berikutan purata kes jangkitan harian wabak COVID-19 dilaporkan hampir 12,500 dalam tempoh seminggu.
Menurut data Institut Kesihatan Awam Nasional, purata kes jangkitan setiap minggu kini mencecah 12,491 pada 16 hingga 22 Oktober dengan populasi penduduk 11.4 juta.
Belgium pada 20 Oktober melaporkan kenaikan kes harian tertinggi – 18,217 kes – sejak awal wabak merebak di negara itu.
Setakat ini, negara itu merekodkan 321,031 kes termasuk 10,810 kematian – angka kematian per kapita tertinggi di Eropah.
Kadar penghuni hospital juga terus meningkat dengan 4,827 orang kini menjalani rawatan COVID-19 di hospital seluruh negara, sementara 757 daripadanya berada di dalam ICU.
Pegawai Belgium mengingatkan semua rakyatnya terhadap beban sistem kesihatan yang sedang dihadapi, sekali gus menggesa orang ramai mematuhi langkah pencegahan.
“Pada akhir minggu ini, jumlah pesakit di dalam ICU akan melebihi 1,000 orang.
“Sekiranya kita tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, kita mungkin melihat ICU penuh dengan kapasiti 2,000 orang dalam tempoh dua minggu,” katanya. – Agensi