Berita UtamaPendapat

Usah tertipu dengan jasa lampau

Orang tua berjasa pada masa lampau adakala jadi pengganggu

MINGGU ini saya ingin menulis berkenaan umur dan jasa manusia.

Sebelum itu, selamat tahun baru saya ucapkan kepada semua. Moga Allah SWT menerima amalan kita semua sebelum ini, serta memberi kita semua kekuatan untuk istiqamah di atas landasan agama hinggalah kita bertemu denganNya.

Masa berjalan tanpa pernah gagal menjadikan umur kita semakin bertambah.

Makin meningkat usia kita, maknanya semakin hampir kita kepada kematian.

Di sudut yang lain, semakin meningkat usia, semakin banyaklah jasa yang kita tinggalkan kepada manusia sekeliling kita.

Ada manusia melihat pertambahan umur sebagai saat perpisahan.

Namun, ada juga manusia yang melihat pertambahan umur sebagai kebanggaan terhadap jasa lampaunya.

Sama ada sebagai ayah, pengasas organisasi, pemimpin parti atau pertubuhan, mahu pun sebagai apa sahaja sebelum meningkat tua.

Setiap orang akan ada jasa tertentu. Besar atau kecil perbezaannya, tidak pernah ada manusia yang tidak pernah berjasa.

Jasa yang pernah ditaburkan sebelum usia tua, kadang-kadang menipu ramai orang.

Satu peringatan Allah berikan kepada Rasulullah  ﷺ di awal nubuwwah berkenaan isu jasa ini.

Peringatan itu juga adalah untuk kita semua yang juga akan menaburkan jasa demi jasa dalam hidup. Firman Allah:

ولا تمنن تستكثر

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.” (Al-Mudathir: 6)

Mujahid berkata, ayat itu bermaksud: “Janganlah kamu memandang hebat amalan kamu untuk kamu menuntut lebih faedah darinya. Sesungguhnya amalan itu hanyalah nikmat Allah kepada kamu.”

Beberapa fenomena negatif mungkin menimpa sebahagian kita dengan pertambahan usia ini. Antaranya:

1)Semakin tua, semakin dia berasa bahawa dialah tonggak kejayaan selama ini.

Dan terus dia berasa bahawa dialah yang masih menjadi tonggak kejayaan di masa akan datang.

Dia sentiasa berasa diperlukan. Jika tidak dikawal, perasaan itu akan membuatkan dia memandang rendah dan tidak yakin peranan orang lain, lalu mencampuri banyak perkara yang tidak sepatutnya dicampuri.

2) Dia berasa cukup dengan apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Dia menghitung dan bernostalgia dengan jasanya sepanjang masa.

Ia sama ada menyenaraikan di dalam fikiran atau menceritakan kepada generasi muda dengan penuh kebanggaan.

Sedangkan hakikatnya, jasa itu belum tentu diterima Allah. Jika pun diterima sebelum ini, belum tentu tidak dibatalkan pahalanya oleh Allah di masa akan datang.

3) Setiap manusia ada fasa-fasa dalam hidupnya.

Manusia yang cerdik adalah manusia yang sentiasa faham perubahan fasa diri dan perubahan fasa sekelilingnya.

Dari situ dia akan sentiasa mencari ruang-ruang baru untuk berjasa bersesuaian dengan perubahan fasa itu.

Apa yang kita lakukan selama ini, tidak sepatutnya itulah juga yang kita lakukan selamanya sehingga kita meninggal dunia.

Kadang-kadang ada medan yang kita asaskan yang perlu dilepaskan kepada orang lain dan kita mencari medan baru pula untuk menyumbang.

4) Pemain sesuatu medan jika tidak berubah wajah, maka mereka tidak akan menghasilkan suatu perkembangan yang kreatif dan positif di medan itu.

Orang tua yang berjasa di masa lampau, dengan niat baiknya adakalanya menjadi pengganggu dalam keadaan dia tidak sedar.

Lihatlah sama ada dalam bidang politik, perniagaan atau lainnya.

Dia perlu sedar bahawa keinginannya untuk memainkan peranan yang sama di medan yang sama akan mengganggu ramai pihak.

Sebagai contoh, cuba kita bayangkan jika ahli politik yang sudah masuk usia senja tidak berebut dengan orang muda, untuk memegang jawatan sama yang pernah dipegangnya ketika dia muda dulu?

Alangkah amannya dunia saya rasa. Tetapi, atas faktor tertentu mereka tidak mahu lepas dan tidak percaya kepada orang lain lalu menyebabkan dunia politik tepu tidak berkembang.

Manusia yang cerdik juga tidak akan tertipu dengan jasa lampau. Yang akan dinilai oleh Allah SWT bukanlah apa yang pernah dilakukan oleh kita, tetapi apakah yang menutup hidup kita. Sabda Rasulullah saw:

انما الاعمال بالخواتيم

Yang bermaksud: “Sesungguhnya (yang dikira) dari amalan itu adalah yang di hujungnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika dia faham hakikat ini, dia akan sentiasa memastikan dia berjasa sepanjang masa.

Semakin tua, semakin banyak usaha ditumpukan untuk menaburkan jasa dalam ruang dan medan yang bersesuaian dengan fasa hidupnya.

Semakin hampir kita kepada kematian, semakin tidak ada masa untuk bernostalgia.

Biasakan bercakap kepada orang ramai ‘aku akan buat sekian sekian’. Elakkan dari bercakap ‘dulu aku buat sekian sekian’.

Akhirnya selamat tahun baru sekali lagi. Ucapan khusus kepada rakan-rakan yang sebaya dengan saya, selamat masuk ke fasa baru di dalam hidup.

Imam Malik menjadi rujukan umat di dalam ilmu sehingga berusia 86 tahun. Musa bin Nusair terus berada di atas kuda perang sehingga berusia 80-an. Ahmad Yasin terus digeruni oleh Zionis sehingga syahid di usia 68 tahun.

تقبل الله منا ومنكم
وكل عام وانتم الي الله اقرب

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden Isma

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button