Berita Utama

Institusi raja langkaui politik

Muhyiddin berdepan dilema pilih keutamaan sebelum buat keputusan

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Keputusan Yang di-Pertuan Agong – tidak mengisytiharkan darurat – selepas berunding dengan Raja-Raja Melayu menyaksikan institusi raja terbabit secara langsung dalam hal ehwal pentadbiran negara.

Realiti politik – pentadbiran negara berasaskan Perlembagaan – dan politik negara ini perlu difahami bahawasanya institusi raja melangkaui politik.

Malah, menjadi teras kepada sistem politik sebagaimana diperuntukkan – misalnya oleh Perkara 150(2B) yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan sesuatu ordinan jika baginda berasakan perlu.

Dari sisi lain, keputusan baginda itu juga memberi ruang pemikiran berbeza dalam kalangan pengamal undang-undang dan pentadbir khususnya, kata Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Dr Nasrudin Mohammed.

Dalam hal ini, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sentiasa memiliki ruang masa dan kesempatan untuk mendapatkan pandangan dan pendirian Raja-Raja lain, melalui platform Majlis Raja-Raja sebagaimana diperuntukkan butiran 6 Jadual Kelima, atau memanfaatkan Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang sudah berlaku itu memberi banyak sisi yang boleh difikirkan secara kritis oleh semua rakyat dan kalangan ahli politik khasnya,” katanya menulis di Berita Harian.

Kelmarin, Seri Paduka bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, 25 Oktober lalu.

Dr Nasrudin bagaimanapun berkata, keputusan Agong sedikit sebanyak memberi gambaran tidak positif mengenai aspek pengurusan maklumat dan analisis risiko kepada Perdana Menteri.

Ini membabitkan sisi pengurusan strategik, perundingan dan kepintaran risikan di pihak Perdana Menteri yang akan dipersoal bukan sahaja oleh musuh politik, bahkan juga pihak lain.

Sebahagian pihak mungkin melihat kewibawaan Muhyiddin tercalar kerana gagal memberi nasihat yang dirasakan patut oleh Al-Sultan Abdullah.

“Perdana Menteri kini berhadapan dilema memilih keutamaan sebelum membuat sebarang keputusan, terutamanya keputusan bersifat strategik, yakni politik.

Katanya, beberapa kemungkinan senario buruk boleh digambarkan.

“Antaranya termasuk kemungkinan deadlock – tiada pakatan atau parti yang mempunyai majoriti.

“…atau gridlock (pertelagahan antara kerajaan dan pembangkang sehingga tidak memungkinkan tercapainya persetujuan meluluskan usul atau undang-undang, atau mungkin juga prorog – aktiviti Parlimen dihentikan tanpa dibubarkan),” katanya.

Selain itu, Dr Nasrudin berkata, Perdana Menteri berdepan persoalan menyusun semula strategi parti politiknya demi kelangsungan hidup politik, bagaimanapun ia sesuatu yang amat sukar.

“Di atas kertas, kekal bersekutu dengan UMNO adalah jalan terbaik bagi Muhyiddin. Namun, untuk berbuat demikian, beliau perlu menelan ego dan ketegasan prinsipnya.

“Penting untuk diredakan sentimen kekecewaan dan kemarahan akar umbi UMNO melalui ganjaran yang mungkin dianggap sangat besar yang terpaksa diberikan kepada parti itu.

“Mungkin ini satu-satunya jalan realistik yang ada di hadapan?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button