Berita UtamaIstimewa

Pertikai Muhyiddin jangan sampai kuasa jatuh ke tangan bukan Islam

Agong tuntut tanggungjawab dimasuk dalam perkiraan ahli politik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kini pastinya dipertikai susulan daripada pelbagai masalah politik yang melanda negara pada ketika ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu nyata sudah kehilangan sokongan majoriti dalam kalangan Ahli Parlimen, terutamanya setelah UMNO mempertimbangkan hasrat untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Suasana bertambah buruk setelah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak usul pengisytiharan darurat kesihatan cadangan Muhyiddin, dipercayai mahu menamatkan kemelut politik dan kesan gelombang ketiga pandemik COVID-19. 

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menegaskan, Muhyiddin boleh berundur jika itu keputusan yang difikirkan sebagai terbaik.

Namun begitu, beliau memberi amaran, pengunduran jangan sampai tampuk pemerintahan negara kembali ke tangan orang bukan Islam.

“Keadaan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sudah boleh dipertikai, beliau nyata hilang sokongan majoriti. Kerana itu telah berlaku krisis dalam politik yang bakal mengundang ketidakstabilan.

“Muhyiddin kalau berundur ia boleh berundur tetapi jangan biarkan negara kembali dikuasai oleh bukan islam.

“Dan jangan pula memberi kesempatan kepada mereka yang berdepan dengan hukuman serta pengadilan sehingga dapat melepaskan diri daripada hukuman dan proses keadilan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan tiada keperluan darurat diisytihar, selepas permohonan yang dipersembahkan Muhyiddin diperhalusi bersama rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, Ahad lalu.

Suasana politik negara menjadi tidak menentu hari ini, bukan hanya kerana polemik yang dicetuskan dalam kalangan pembangkang – kononnya memperoleh majoriti kukuh bentuk kerajaan Persekutuan baharu – bahkan juga ‘kemelut’ di barisan kerajaan.

Menjunjung titah Seri Paduka Baginda itu, Ustaz Abdullah Zaik berkata, keputusan itu berdasarkan penilaian Al-Sultan Abdullah terhadap keadaan semasa negara yang masih stabil dan kemampuan kerajaan menjalankan tugas.

“Ini bermakna baginda meminta penyelesaian politik hendaklah diselesaikan secara demokrasi, namun baginda menuntut agar perkara tanggungjawab dimasukkan dalam perkiraan ahli politik.

“Walaupun mereka mempunyai hak bertindak secara politik, tetapi ia hendaklah dilakukan dengan tanggungjawab bukan semata-mata kepentingan diri dan parti sahaja.

“Di sinilah, ahli-ahli politik secara bertanggungjawab harus bertindak secara matang sehingga tidak menjejaskan kepentingan ekonomi dan usaha rakyat yang sedang berdepan pandemik,” katanya.

Bagaimanapun, Ustaz Abdullah Zaik berpendapat, setakat ini Muhyiddin adalah individu terbaik untuk memimpin negara dalam keadaan Malaysia sedang berperang melawan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button