Berita Utama

PDRM keluar garis panduan penyampaian PJPN tanpa istiadat

Garis panduan dikeluarkan pada 22 Julai ekoran COVID-19

KUALA LUMPUR, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan garis panduan sejajar prosedur operasi standard (SOP), agar penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N.) dilaksanakan tanpa majlis istiadat.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass berkata garis panduan penyampaian P.J.P.N. tanpa istiadat, telah dikeluarkan pada 22 Julai lepas ekoran daripada penularan wabak pandemik COVID-19, yang ketika itu yang tidak membenarkan sebarang majlis diadakan.

Beliau berkata PDRM telah mengesan satu paparan gambar penyampaian P.J.P.N. tanpa istiadat yang tular melalui aplikasi WhatsApp pada semalam.

“PDRM ingin mengingatkan kepada semua penerima untuk tidak menjadikan isu berhubung penyampaian pingat dan sijil penghargaan P.J.P.N. tanpa istiadat.

“Ini kerana garis panduan penyampaian P.J.P.N. tanpa istiadat bertarikh 22 Julai lepas membenarkan pegawai kanan polis yang lebih kanan pangkatnya daripada penerima untuk menyerahkan pingat dan sijil penghargaan P.J.P.N,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaini berkata perkara ini seharusnya tidak disensasikan sehingga menimbulkan salah faham kepada umum dengan memberi tanggapan negatif kepada PDRM, demi menjaga kemuliaan pingat serta jasa penerima itu sendiri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button