Berita Utama

PKPB: Pemuda ISMA beri sumbangan kepada 350 keluarga di Sabah

Ada individu terpaksa makan dari sumber alam sekitar, bayi diberi air gula

BANGI, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Sebanyak 350 keluarga dan hampir 2,000 fakir miskin di Sabah telah menerima Bantuan Keperluan Asas COVID-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Arifin Manan berkata, bantuan yang diberikan melalui Projek Relawan Muda itu majoritinya adalah penduduk tanpa negara (stateless) dan warga tempatan.

Katanya, sehingga 25 Oktober 2020, pihaknya telah memberi sumbangan di Kampung Bakau Batu 3, Kampung Sandang, Kampung Bakau (Batu Sapi), Perumahan Setinggan Taman Mutiara, Perumahan Setinggan Batu 2 di Sandakan.

“… manakala di Kota Kinabalu pula adalah Kampung Selambangun, Kampung Sabang, setinggan di Kampung Kolam Pulau Gaya, Rumah Sewa Segama dan Sinsuran.

“Daerah Semporna pula meliputi bantuan di Kampung Gelam-Gelam, Pulau Bum Bum, Pulau Luamanggas, Kampung Sri Aman Darat, kampung Sri Aman Laut dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataaan.

Pada masa sama, Arifin berkata, sebahagian warga tempatan sukar menerima bantuan kerajaan atas faktor masalah logistik.

Bagi individu yang berstatus ‘stateless’ di negeri itu, beliau berkata, kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai buruh harian, pekerja kedai, petani dan nelayan yang rata-ratanya tidak layak menerima bantuan keperluan asas daripada kerajaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana Mac lalu.

Katanya, pelaksanaan PKP juga mengakibatkan individu-individu terbabit tidak dapat bekerja dan terputus bekalan makanan.

“Kesukaran yang dialami ini menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa makan dari sumber alam sekitar dan bayi diberikan air gula,” katanya.

Justeru, katanya, Pemuda ISMA memohon jasa baik syarikat-syarikat swasta, perseorangan atau mana-mana individu untuk tampil memberi sumbangan ke tabung Bantuan Keperluan Asas COVID-19 untuk fakir miskin.

Tambahnya, bantuan itu bagi membolehkan individu yang memerlukan menikmati sesuap nasi bagi mengisi perut lapar serta bayi yang memerlukan susu.

Beliau berkata, fasa bantuan seterusnya yang turut mendapat kerjasama daripada Semporna Prihtain dan Yayasan Maghrifah menyasarkan 300 buah keluarga di kawasan berbeza dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM30,000.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Ikatan Muslimin Malaysia Kota Kinabalu (Maybank : 560214058721), rujukan: Sumbangan COVID-19 atau hubungi Dr. Sobri di talian +6017-2121931.

“Selain itu juga bagi mereka yang berminat mahu menyumbang susu tepung untuk bayi bawah setahun juga dialu-alukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button