Berita Utama

Suspek utama Macau Scam ditangkap di hotel

Larikan diri selepas dibebaskan oleh SPRM

KUALA LUMPUR, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek lelaki disyaki terbabit sindiket Macau Scam dan perjudian secara dalam talian, yang melarikan diri selepas dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek berkenaan ditahan di sebuah hotel peranginan di luar kawasan Lembah Klang.

Beliau berkata, operasi mengesan suspek dibuat susulan tindakan dia melarikan diri dari badan pencegah rasuah berkenaan pada 11 Oktober lepas.

“Suspek ditahan oleh pasukan JSJ Bukit Aman bersama dengan seorang wanita berikutan pembabitannya dalam sindiket berkenaan.

“Kedua-dua mereka kini ditahan dan akan direman di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu pada 13 Oktober lepas, media melaporkan SPRM mengesahkan seorang suspek sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan beberapa selebriti tanah air, melarikan diri ketika hendak ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Berikutan itu, pada 16 Oktober lepas, polis mendedahkan butiran suspek yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan tiga kes membabitkan penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button