Berita UtamaDunia

200 lapangan terbang di Eropah di ambang muflis

Jumlah ‘kehilangan’ penumpang sejak Januari 2020 cecah 1.29 bilion

BRUSSELS, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Hampir 200 lapangan terbang di Eropah berdepan muflis dalam beberapa bulan akan datang jika trafik penumpang tidak mulai pulih pada akhir tahun ini, kata badan lapangan terbang, ACI Europe, semalam.

Dianggarkan 193 hab Eropah dianggap ‘lapangan terbang berisiko,’ kata ACI, sambil memaklumkan bahawa mereka menyumbang kepada aktiviti ekonomi yang mewujudkan 277,000 pekerjaan dan AS$14.66 bilion (RM61.1 bilion) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Eropah.

Lapangan terbang paling berisiko adalah di wilayah yang lebih kecil dengan kurang daripada lima juta pelancong setiap tahun, kata seorang jurucakap ACI kepada Reuters.

Lapangan terbang Eropah yang lebih besar juga menghabiskan wang tunai pada kadar tidak dapat ditampung lagi, dengan 20 lapangan terbang Eropah teratas telah menambah AS$18.91 bilion (RM78.8 bilion) hutang – setara dengan hampir 60 peratus pendapatan mereka dalam tahun biasa, kata ACI.

“Angka-angka yang diterbitkan hari ini menggambarkan hakikat yang sangat suram. Lapan bulan setelah krisis, semua lapangan terbang Eropah menghabiskan wang tunai untuk kekal dibuka, dengan pendapatan jauh daripada mampu menampung kos operasi, apa lagi kos modal,” kata Ketua Pengarah ACI Europe, Olivier Jankovec dalam satu kenyataan.

Data dari ACI menunjukkan trafik penumpang di lapangan terbang Eropah menurun 73 peratus tahun ke tahun pada bulan September, dengan ‘kehilangan’ sejumlah 172.5 juta penumpang. 

Sementara, jumlah kehilangan penumpang sejak Januari 2020 kini mencecah 1.29 bilion.

“Pada pertengahan Oktober, lalu lintas penumpang turun 75 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu, mencapai penurunan 80 peratus untuk lapangan terbang di EU/ EEA/Switzerland/UK,” kata Jankovec.

ACI Europe mewakili lebih dari 500 lapangan terbang daripada jumlah 740 di Eropah, yang mempunyai penumpang membayar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button