Berita Utama

Ayuh! Tekan Perancis dengan kuasa ekonomi Islam hingga tersungkur

Amaran supaya tidak sesekali hina Islam, Nabi Muhammad ﷺ

BANGI, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Umat Islam di negara ini diseru untuk menggunakan semaksimum mungkin kuasa ekonomi yang dimiliki dengan memboikot barangan keluaran Perancis.

Ini ekoran kegagalan Presidennya, Emmanuel Macron memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan berbaur anti-Islam sehingga mendapat cemuhan dan kritikan seluruh dunia.

Isu melibatkan karikatur Nabi Muhammad ﷺ pada hakikatnya sudah berlaku sejak sekian lama melalui siri-siri insiden, namun kerajaan Perancis masih tidak sensitif malah mengapi-apikannya dengan meraikan penghinaan tersebut. 

Susulan itu, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menegaskan, orang ramai perlu meneruskan desakan kepada kerajaan Perancis sehingga rakyat negara itu sendiri bangkit dan marah kepada Presidennya.

“Kita asak sampai tersungkur. Sebagai amaran kepada seluruh dunia supaya tidak sesekali menghina agama Islam terutamanya dengan karikatur Nabi Muhammad. 

“Kita tunjukkan kuasa ekonomi kita sebagai umat Islam kerana kita sudah saksikan bagaimana tekanan ekonomi boleh menundukkan musuh-musuh Islam. Ayuh kita!,” kata PEMBELA dalam satu kenyataan, hari ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata, negara-negara Islam termasuk Malaysia sudah mula turut serta dalam pergerakan memboikot produk-produk Perancis.

Malah, kerajaan Perancis mengakui bahawa mereka terkesan teruk dengan kempen boikot ini sekali gus merayu agar dunia menghentikannya. 

Gesaan memboikot produk Perancis semakin meningkat di rantau Arab dan negara muslim beberapa hari selepas Macron dengan angkuh menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ.

Tanda pagar #BoycottFrenchProducts turut menjadi ‘trending’ di Twitter sebagai tanda protes terhadap sentimen anti-Islam yang kembali meningkat di Paris, susulan kejadian seorang guru dipenggal kerana tindakan biadabnya menunjukkan karikatur Nabi Muhammad ﷺ kepada murid di kelas, kononnya atas dasar kebebasan pendapat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button