Berita Utama

‘Boikot produk Perancis, perkasalah juga kempen BMF’

Utamakan produk keluaran muslim adalah agenda sepanjang hayat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Usaha umat Islam melancarkan kempen memboikot semua barangan keluaran Perancis memberi isyarat jelas kepada negara itu dan pihak lain supaya tidak bersikap biadab menghina Islam.

Kempen yang dibuat secara besar-besaran di semua negara Arab dan muslim seluruh dunia, termasuk Malaysia membuktikan kuasa ekonomi Islam boleh mempengaruhi Perancis.

Walaupun negara turut serta dalam pergerakan boikot itu, umat Islam di Malaysia turut diingatkan supaya tidak mengabaikan kempen Beli Produk Muslim (BMF), agar kuasa ekonomi Islam terus kukuh.

Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari berkata, usaha memboikot hanyalah bersifat sementara dan untuk memberi isyarat semata-mata.

“Tetapi, mengutamakan produk muslim adalah agenda kita sepanjang hayat.

“Justeru, saya menyeru semua umat Islam di negara ini supaya teruskan usaha dan komitmen kita untuk mengutamakan barangan keluaran muslim dalam urusan seharian,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kempen boikot terhadap Perancis yang dilancarkan secara besar-besaran di kebanyakan negara Arab dan muslim seluruh dunia.

Ini ekoran tindakan Presidennya, Emmanuel Macron yang sengaja mencetuskan sentimen anti-Islam, khususnya membabitkan isu karikatur Nabi Muhammad ﷺ.

Mengutuk keras tindakan Macron itu, Izzat menggesa kerajaan membawa balik Duta Malaysia ke Perancis sebagai tanda boikot sehingga Presiden negara itu membuat permohonan maaf.

“Kepada rakyat Malaysia, terutama umat Islam, anda boleh jadikan contoh dan pengajaran, jangan benarkan pimpinan kerajaan yang mengabaikan Islam, membiarkan Rasulullah dihina,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button