Berita Utama

COVID-19 tak bahaya? PPIM minta penjelasan KKM

World Doctors Alliance dakwa COVID-19 hanya virus biasa

BANGI, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Tular di media sosial baru-baru ini video sekumpulan doktor serta pengamal kesihatan menyatakan bahawa COVID-19 adalah virus selesema biasa dan dunia kini tidak berdepan dengan pandemik.

Dalam klip video berdurasi 18 minit itu, para doktor dan aktivis membuat beberapa dakwaan tidak berasas dengan menyifatkan COVID-19 tidak berbahaya.

Mereka yang membuat dakwaan mengelirukan itu adalah sekumpulan profesional dalam bidang kesihatan yang menggelar diri sebagai ‘World Doctors Alliance’.

Namun, carian mendapati bahawa para doktor yang dilihat dalam video tersebut tidak berafiliasi dengan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

https://youtu.be/8V4iKH-aZ_c

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, pihaknya telah dihujani pelbagai persoalan mengenai pandemik COVID-19 susulan kenyataan World Doctors Alliance.

Ini kerana, katanya, World Doctor Alliance mendakwa, pandemik ini bukanlah sesuatu yang serius tetapi telah mengakibatkan kesan yang amat mendalam terhadap seluruh masyarakat dunia terutama dari komuniti peniaga.

“Oleh kerana kenyataan ini datangnya daripada pihak World Doctors Alliance yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kesihatan dan berkaitan, maka para pengguna dari segenap pihak telah menghubungi kami untuk mendapatkan penjelasan mengenai pandemik, atau lebih dianggap sebagai ‘plandemik’, bermaksud satu pandemik yang dirancang.

“PPIM menganggap isu ini berhak mendapat penjelasan dari pihak kerajaan Malaysia memandangkan gejala ini telah mengakibatkan kesan yang teruk terhadap negara dan juga rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Persatuan itu berharap pihak berkaitan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat segera memberikan penjelasan berkenaan kenyataan dakwaan tu.

“Ini kerana ia telah menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat yang telah menjejaskan kualiti hidup rakyat Malaysia,” katanya.

World Doctors Alliance mengumpulkan 17 individu termasuk ahli politik, aktivis, peguam, pakar psikologi dan doktor untuk menafikan kesan pandemik COVID-19 yang sedang berlaku.  

Panel ini membentuk sebuah jawatankuasa penyiasatan coronavirus luar Parlimen bebas (ACU 2020) yang dengan lantang menyangkal adanya wabak.

Pengasas World Doctors Alliance, Heiko Schöning pernah ditangkap kerana berbicara menentang wabak di London pada bulan September, bahkan menyifatkan krisis kesihatan ketika ini sebagai ‘Plandemic’.

Panel ini bertemu di Berlin, Jerman pada 10 Oktober lalu. 

Walaupun video asal yang disiarkan di laman web ACU dan saluran YouTube telah dihapuskan, namun keseluruhan video masih tersebar di media sosial lain hingga mencetuskan kekecohan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button