Berita Utama

Jijik! Perancis lindung kejahatan di sebalik kebebasan bersuara

Hikmah Islam larang hina sembahan agama lain elak berlaku tindak balas

BANGI, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Slogan kebebasan bersuara di dunia termasuk apa yang berlaku di Perancis sekarang hanyalah alat untuk menghina agama Islam

Lebih menjijikkan apabila wujud pihak-pihak tertentu berani melindungi kejahatan di sebalik agenda ‘kebebasan bersuara’ yang diperjuangkan.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim mengutuk, tindakan kerajaan Perancis yang sengaja melancarkan serangan agama ke atas umat Islam, apabila Presidennya, Emmanuel Macron ‘merestui’ malah menggalakkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad ﷺ dengan alasan kebebasan bersuara.

Ustaz Zamani mendakwa, insiden membabitkan kematian seorang guru di negara itu adalah berpunca daripada sentimen anti-Islam yang dicetuskan, termasuk penghinaan berterusan ke atas Nabi Muhammad ﷺ .

“Apabila sudah bertubi-tubi Nabi dihina, ditambah sokongan secara terang-terangan oleh Macron, tiada siapa boleh menjamin semua umat Islam boleh menahan sabar.

“Maka, kejadian putus kepada seorang guru Perancis akibat mengajar anak muridnya tentang karikatur penghinaan terhadap Nabi adalah satu kejadian normal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kegagalan Macron memohon maaf selepas mengeluarkan kenyataan berbaur anti-Islam mendapat cemuhan dan kritikan seluruh dunia.

Bahkan, kebanyakan negara Islam ketika ini mengadakan protes dan boikot secara besar-besaran terhadap barangan buatan Perancis, sebagai menentang tindakan negara itu membenarkan penghinaan ke atas Nabi Muhammad ﷺ .

Ustaz Zamani berkata, Perancis sengaja mengundang tindak balas dunia Islam, malah mengangkat pula slogan kebebasan bersuara dan solidariti untuk guru terbabit bagi melindungi kejahatan mereka.

“Manusia normal pasti tidak boleh mendiamkan diri jika ibunya dihina. Jika ada tindak balas, maka itu normal,” katanya.

Oleh sebab itu, Islam mengharamkan umatnya menghina sembahan agama lain, bagi mengelakkan berlaku tindak balas seumpama berkenaan, katanya.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Malaysia membendung dengan tegas sekiranya berlaku tindakan menghina Nabi Muhammad ﷺ  dan ibadah orang Islam, supaya keharmonian kaum terus terpelihara.

“Kerajaan Malayisa digesa untuk menyatakan mesej yang jelas kepada kerajaan Perancis, bahawa Malaysia amat memandang serius keharmonian global.

“Sebarang isu yang berkaitan agama dan boleh mencetuskan kegusaran global mestilah ditangani dengan bijaksana,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button