Berita Utama

Junjung titah Agong, UMNO tak perlu jadi hero damaikan politik negara

Agenda perdamaian ada maksud tersirat? Bersihkan nama UMNO?

BANGI, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Inisiatif Rekonsiliasi Nasional atau Agenda Perdamaian Nasional dengan mempelawa penyertaan semua parti politik termasuk pembangkang bukanlah perdamaian nasional yang membawa kepada kepentingan watan.

Idea cetusan UMNO itu kelihatan mempunyai maksud tersirat dan seolah-oleh menonjolkan parti yang pernah ditolak rakyat itu adalah ‘hero’ kepada agenda perpaduan negara.

Hakikatnya, Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim menegaskan, inisiatif berkenaan hanya sekadar menukar nama tetapi pemain utama tetap dalam kalangan orang yang sama. 

Walhal, tegas beliau, perubahan yang dituntut mencakupi keseluruhannya, bermula daripada sikap kepimpinan hingga kepada hala tuju perjuangan parti.

Justeru, beliau menyifatkan, ini satu percubaan UMNO untuk mengambil peluang demi kepentingan parti dan keuntungan pemimpinnya. 

“Sebab itu ia cuba menjadi hero dengan menganjurkan inisiatif ini, namun ada agenda tersirat di situ. 

“Mereka cuba untuk membersihkan diri yang sudah banyak terpalit dengan pelbagai masalah, mereka jugalah yang mengugut untuk keluar daripada Perikatan Nasional sehingga akhirnya membawa kepada Perdana Menteri bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk mencadangkan darurat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Zamani menegaskan, BERJASA akan kekal teguh dan tetap dengan agenda membangunkan watan berdaulat. 

Katanya, semua parti sepatutnya sudah cukup dengan menjunjung titah Agong baru-baru ini dan tidak menganggu kerajaan sehingga ia mampu mentadbir negara ke arah kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. 

“Perikatan Nasional hendaklah melaksanakan sebaik mungkin dan jangan sekali kali buat perangai, ini kerana rakyat mahukan yang terbaik.

“Pembangkang pula cukup-cukuplah dengan perangai asyik membangkang tak sudah sudah. Belajarlah untuk akur dengan apa yang telah dititahkan oleh YDPA,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mewakili BERJASA menyeru semua pimpinan parti dan rakyat fokus kepada usaha membebaskan diri daripada ujian wabak COVID-19 ini. 

“Sebarang tindakan mementingkan agenda parti adalah menggambarkan suatu yang tidak matang dan tamak. 

“Kepada rakyat, PRU15 nanti pastikan kalian memilih calon yang benar-benar berwibawa dan membawa agenda watan. 

“Calon yang mempunyai rekod buruk dan bermasalah, maka PRU15 nanti kitalah yang menentukannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button