Dunia

Kes positif COVID-19 di Indonesia melebihi 400,000

Tiada sekatan pergerakan dikenakan meski kes meningkat mendadak

JAKARTA, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Indonesia hari ini melaporkan 4,029 lagi kes jangkitan harian baharu COVID-19, menjadikan keseluruhan kes kini mencecah 400,483.

Menurut kerajaan negara itu, sebanyak 100,000 kes jangkitan baharu dilaporkan dalam tempoh 26 hari. 

Sebanyak 100 kematian juga direkodkan setakat hari ini menjadikan keseluruhan meningkat kepada 13,612 orang. Setakat ini, terdapat 61,078 kes aktif di negara berkenaan. 

Kerajaan Indonesia berkata, setakat hari ini, hampir 170,000 orang sedang menunggu keputusan ujian saringan COVID-19. 

Katanya, Jakarta adalah wilayah yang mempunyai kes tertinggi hari ini dengan 844 kes, diikuti Jawa Barat (403 kes), Jawa Tengah (318 kes) dan Sumatera Barat (276 kes). 

Awal bulan lalu, jurucakap Pasukan Khas Tangani COVID-19 memberi amaran terhadap risiko peningkatan kes menjelang cuti umum akan datang. 

“Cuti panjang terbukti memberi kesan peningkatan jumlah kes positif di seluruh negara,” kata Wuku Adisasmito yang merujuk perayaan Aidilfitri dan cuti umum pada Ogos lalu. 

Kerajaan Indonesia sebelum ini mengumumkan 28 Oktober hingga 30 Oktober sebagai cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul yang turut diraikan pada 29 Oktober. 

Kerajaan bagaimanapun tidak mengenakan sebarang kawalan pergerakan walaupun kes jangkitan COVID-19 masih belum berjaya ditangani. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button