Berita Utama

Pekebun haram dakwa tak boleh diusir sehingga 9 Disember

Mahkamah Tinggi Kuantan lanjut perintah penggantungan

BANGI, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Kumpulan pekebun haram di Raub mendakwa kerajaan Pahang dan pejabat tanah tidak boleh mengusir mereka, berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan, hari ini.

Save Musang King Alliance (SAMKA) mendakwa, ini kerana mahkamah umum melanjutkan perintah penggantungan terhadap notis pengosongan sehingga 9 Disember depan.

“Selama tempoh ini, kerajaan negeri, jabatan tanah dan RPD (Royal Pahang Durian Group) tidak dibenarkan mengusir pekebun dan mengosongkan tanah kebun durian.

“Menurut jadual, hari ini mahkamah tinggi sepatutnya memberikan keputusan berkenaan bantahan pekebun durian terhadap usaha sama pengambilan tanah oleh kerajaan Pahang dan RPD,” dakwanya seperti dipetik Kini TV, hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Tras dari DAP, Chow Yu hui mendakwa, hakim memerlukan masa yang lebih lama untuk mengkaji kes itu, oleh itu tarikh keputusan telah dilanjutkan.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 9 Disember untuk keputusan permohonan semakan kehakiman 110 penanam durian Musang King di Raub dan membenarkan perintah penggantungan terhadap notis pengosongan yang sepatutnya berakhir hari ini, disambung sehingga tarikh sama.

Mahkamah diberitahu 110 penanam durian Musang King terbabit tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang supaya mereka mengosongkan kebun.

Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak yang mewakili enam responden itu berkata, penanam terlibat tidak diberikan sebarang hak atau lesen pendudukan sementara (TOL) mahupun mempunyai hak milik terhadap tanah yang telah diusahakan dengan tanaman tersebut.

Keadaan ini, menjadikan status mereka sebagai penceroboh atau setinggan.

Noor Fadzila berkata, pemohon juga tersilap apabila memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis yang dikeluarkan pentadbir tanah.

Katanya, pemohon seharusnya memfailkan notis rayuan kerana notis bukanlah suatu yang disyaratkan undang-undang untuk dikeluarkan tetapi sebagai makluman kepada pemohon atau orang yang terlibat apabila ada kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, jika pemohon terkesan dengan notis pengosongan itu di bawah Seksyen 418 Kanun Tanah Negara 1965, mereka boleh memfailkan rayuan terhadap keputusan pentadbir tanah Raub dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis diserahkan kepada mereka.

Penanam durian terlibat memfailkan permohonan itu dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984, pemohon juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun seluas kira-kira 2,167 hektar (5,357 ekar) kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button