Serangan bom kereta di Kabul korbankan tiga nyawa
Rundingan damai tak beri kesan, serangan meningkat 70 peratus
KABUL, 11 Rabiulawal 1442H, Rabu – Serangan bom kereta telah meragut nyawa sekurang-kurangnya tiga orang dan mencederakan 14 yang lain di ibu negara Afghanistan, di sini.
Insiden itu berlaku setelah sebuah kereta yang penuh dengan bahan letupan meletup berhampiran Kementerian Dalam Negeri Afghanistan di Kabul, semalam.
Sebelum insiden itu, dilaporkan berlaku satu kejadian pengeboman kereta dan tembakan mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 33 yang lain termasuk anggota polis serta orang awam, di wilayah Khost, timur Afghanistan.
Belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, yang berlaku di tengah rundingan damai antara pemerintah Afghanistan dan kumpulan militan Taliban.
Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) pada hari Isnin menyatakan, keprihatinan serius mengenai peningkatan jumlah korban awam di seluruh negara walaupun terdapat rundingan intra-Afghanistan.
Amerika Syarikat (AS) yang menyerang Afghanistan dan menggulingkan rejim Taliban pada tahun 2001, mengadakan perjanjian ‘perdamaian’ dengan kumpulan militan pada bulan Februari.
Di bawah perjanjian itu, militan bersetuju untuk menghentikan serangan mereka terhadap pasukan asing sebagai balasan pengunduran tentera AS dari Afghanistan.
Namun, data rasmi menunjukkan bahawa pengeboman dan serangan lain telah meningkat sebanyak 70 peratus sejak itu.
Wakil khas AS ke Afghanistan pada hari Selasa mengatakan, tahap keganasan di Afghanistan sangat tinggi.
“Terlalu banyak orang Afghanistan yang mati. Pihak-pihak di sini sangat memerlukan kesepakatan mengenai pengurangan kekerasan yang menjurus ke arah gencatan senjata yang tetap dan menyeluruh,” kata wakil AS, Zalmay Khalilzad dalam satu kenyataan sebelum terbang ke Doha untuk bertemu dengan kedua-dua pihak yang terlibat dalam rundingan intra-Afghanistan. – Agensi