Berita Utama

Belanjawan 2021: PH mahu kerajaan berunding dengan pembangkang

PKR, DAP, Amanah yakin itu penting demi kebaikan negara, rakyat

PETALING JAYA, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan rundingan dengan pihak pembangkang mengenai Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November depan.

Dalam satu kenyataan bersama, PKR, DAP dan Amanah yakin dengan itu semua Ahli Parlimen yang terlibat di dalam sesi perbahasan belanjawan berkenaan akan mencapai kata sepakat bagi memastikan belanjawan tersebut mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.

“Amatlah penting dan serius untuk Belanjawan 2021 ini dirundingkan dengan pembangkang sebelum dibentang di Parlimen.

Maka Perdana Menteri harus mengadakan perbincangan dan rundingan segera (dengan pihak pembangkang) supaya belanjawan itu dapat mencapai objektif-objektif yang diingini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu dibaca oleh Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR di sini, petang ini.

Mesyuarat yang bermula kira-kira 4 petang dan selesai dua jam kemudian, dipengerusikan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri beberapa pemimpin tertinggi PH termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Turut hadir Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad.

Dalam kenyataan itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut mengambil maklum titah Al-Sultan Abdullah yang menasihati ahli Parlimen supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Ahad lepas, Seri Paduka menasihati Ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh COVID-19.

Baginda menegaskan bahawa belanjawan itu amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung ancaman wabak ini daripada terus merebak.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kemampuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pandemik COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button