Berita Utama

COVID-19: Kes pulih lebih tinggi daripada positif baharu hari ini

685 kes pulih dilaporkan, manakala kes baharu adalah 649

KUALA LUMPUR, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kes pulih COVID-19 hari ini mengatasi angka kes positif dengan 685 kes pulih dilaporkan, manakala kes baharu adalah sebanyak 649 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif itu sebanyak 642 kes adalah penularan dalam negara, manakala tujuh lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Memperincikannya, beliau berkata 352 kes dilaporkan di Sabah manakala 132 kes di Selangor, Negeri Sembilan (43), Kedah (37), Kuala Lumpur (21), Labuan (17), Pulau Pinang (13), Johor (10), Sarawak (lapan), Perak (lima), manakala masing-masing satu kes di Pahang, Melaka, Terengganu dan Putrajaya.

“Di Sabah, 55 kes adalah daripada kluster-kluster, termasuk 11 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Sakti dan Kluster Tuguson, 170 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 127 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

“Di Selangor, 70 kes daripada kluster-kluster, termasuk enam kes dari kluster baharu iaitu Kluster Taman Laut dan Kluster Bah Medan, 41 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan 21 kes daripada lain-lain saringan COVID-19,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Noor Hisham berkata di Negeri Sembilan pula, 36 kes daripada kluster-kluster, termasuk 16 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Taman Bunga, lima kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan dua kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

Beliau berkata di Kedah, 37 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada, manakala di Kuala Lumpur pula 12 kes daripada kluster-kluster sedia ada, lapan kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19 dan satu daripada lain-lain saringan COVID-19.

Katanya 15 kes di Labuan adalah daripada kluster sedia ada dan dua kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19, manakala di Pulau Pinang, 12 kes daripada kluster-kluster sedia ada dan satu kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

“Di Johor pula, sembilan kes daripada kluster sedia ada dan satu kes daripada lain-lain saringan COVID-19, manakala di Sarawak, tujuh kes daripada kluster-kluster sedia ada dan satu kes daripada lain-lain saringan COVID-19.

“Di Perak, empat kes daripada kluster-kluster sedia ada dan satu kes daripada lain-lain saringan COVID-19, manakala satu kes di Pahang adalah daripada lain-lain saringan COVID-19, satu kes di Putrajaya pula daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19, manakala satu kes di Melaka dan satu kes di Terengganu, masing-masing adalah daripada kluster sedia ada,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button