Berita Utama

Demi solidariti, tindakan boikot barangan Perancis wajar: Mufti

Jika ada pihak menghina, umat Islam patut beri tindak balas setimpal

SEREMBAN, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Barangan buatan Perancis yang mendapat pemboikotan daripada pelbagai pihak adalah satu tindakan wajar, kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Beliau berkata, tindakan itu adalah bagi menunjukkan solidariti terhadap Islam serta kemajmukan beragama dalam masyarakat.

Katanya, Islam amat menggalakkan umatnya hidup secara berharmoni termasuk dalam masyarakat yang mempunyai pelbagai agama.

“Jika ada pihak yang melakukan penghinaan terhadap agama, umat Islam juga patut untuk menunjukkan kemuliaan diri mereka dengan memberikan tindak balas yang setimpal ke atas penghinaan yang telah berlaku.

“Dalam al-Quran juga ada menyatakan bahawa jika seseorang itu melakukan permusuhan, maka patut juga dia diberikan balasan kepada permusuhan yang sama,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Mohd Yusof berkata demikian bagi mengulas seruan pelbagai pihak supaya umat Islam di negara ini memboikot barangan buatan Perancis.

Ia susulan kenyataan Presiden negara itu, Emmanuel Macron yang menyifatkan Islam adalah punca kepada semua krisis yang berlaku di dunia ketika ini.

Macron membuat kenyataan itu selepas insiden pembunuhan guru lelaki yang dipenggal kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW di Paris baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, perbincangan boleh dilakukan supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk.

“Namun, sejauh mana untuk kita melakukan pemulauan perniagaan orang lain itu terpulanglah kepada keadaan sama ada boleh mendatangkan kesan atau pun tidak.

“Kadang-kadang apa yang kita lakukan hanya untuk menunjukkan kemarahan kita sahaja tetapi tidak memberikan kesan yang jelas.

“Tetapi kalau sekiranya itu sahaja jalan yang boleh menunjukkan harapan supaya orang menghormati kehidupan sesama manusia, tindakan memboikot barangan pihak musuh itu adalah sesuai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button