Berita Utama

Dr M bertemu pemimpin bincang kerajaan perpaduan?

Pintu masih terbuka kepada sesiapa ingin bincang perkara sama

BANGI, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Satu perbincangan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin politik telah diadakan berkaitan cadangan membentuk kerajaan perpaduan.

Sumber dari Pejabat Dr Mahathir mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Langkawi itu telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada Isnin lalu, diiikuti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Selasa dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pada Rabu.

“Perbincangannya adalah untuk membentuk kerajaan perpaduan,” kata sumber itu kepada media tempatan, hari ini.

Sumber terbabit berkata, ketiga-tiga pertemuan itu telah diadakan di kediaman Dr Mahathir di Seri Kembangan, Selangor.

Ketika ditanya mengenai ketidakhadiran pemimpin DAP dalam pertemuan itu, sumber berkata, hanya mereka yang ada dalam gambar itu sahaja yang hadir setakat ini.

Menurutnya, pintu masih terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin berbincang dengan Dr Mahathir mengenai perkara sama.

Sebelum ini, laman Facebook kelab penyokong Dr Mahathir, Kelab Che Det menyiarkan tiga gambar yang dikaitkan dengan pertemuan berkenaan.

“Ketika negara diuji, kerajaan perpaduan adalah formula terbaik. Parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang dan sebaliknya hanya kepentingan negara sahaja yang diutamakan. Ini juga menyambut baik saranan Agong supaya berhenti berpolitik.

“Jika penubuhan kerajaan perpaduan berlaku, diharap ia bukan sahaja membela kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia berbilang kaum, malah boleh memberi fokus kepada usaha pemulihan ekonomi negara yang semakin mencabar kesan akibat pandemik COVID-19, pergolakan politik dan kedudukan ekonomi global yang tidak tentu,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook.

Kenyataan itu timbul ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan cabaran daripada dalam dan luar gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diterajuinya.

Muhyiddin juga mempunyai tugas untuk memastikan Belanjawan 2021 yang dijadualkan dibentangkan pada 6 November ini mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Ianya bagi membuktikan beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong menyeru semua ahli politik supaya menyokong belanjawan itu yang disifatkan penting dalam usaha kerajaan menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button