Berita UtamaDunia

Masjid Besar Algiers dibuka untuk solat

Masjid mempunyai menara 267 meter iaitu tertinggi di dunia

ALGIERS, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Umat Islam semalam dibenarkan untuk bersolat di Masjid Besar di Algiers selepas siap pembinaannya.

Masjid berkenaan yang juga dikenali sebagai Djamaa ElDjazair adalah ketiga terbesar di dunia dan terbesar di Afrika dengan keluasan 27.75 hektar.

Saiznya lebih kecil berbanding Masjidilharam di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi.

Presiden negara itu, Abdelmadjid Tebboune sepatutnya hadir merasmikan dewan solat masjid berkenaan yang mampu memuatkan seramai 120,000 jemaah pada semalam, menjelang keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Abdelmajdid Djerad dan pegawai kerajaan mewakili Tebboune bagi merasmikan dewan solat masjid terbabit.

Ketidakhadiran Tebboune adalah disebabkan beliau dimasukkan ke hospital kerana disyaki dijangkiti wabak COVID-19.

Selain itu, jumlah jemaah yang dibenarkan bersolat di masjid itu masih belum ditentukan ketika COVID-19 masih belum reda.

Ruang dalaman masjid itu adalah mengikut seni bina Andalusia dan dihiasi dengan kayu, marmar dan batu putih.

Ia diharapkan menjadi pusat penyelidikan serta kebudayaan teologi, dan turut mengandungi sebuah perpustakaan yang boleh memuatkan sejuta buah buku.

Bukan itu sahaja, masjid itu turut mempunyai menara setinggi 267 meter tertinggi di dunia, selain dilengkapi dengan lif serta mengandungi platform menghadap pemandangan ibu kota Algeria dan Teluk Algeirs.

Sebelum ini menara masjid yang tertinggi ialah di bandar raya Casablanca, Maghribi iaitu setinggi 210 meter.

Menurut Kementerian Kewangan, kos pembinaannya ialah lebih AS$1 bilion (RM4.16 bilion).

Kerja-kerja pembinaannya mengambil masa selama tujuh tahun dan siap pada April 2019 – tiga tahun di belakang jadual asal dan syarikat yang membinanya ialah Kejuruteraan Pembinaan Negara China (CSCEC) yang membawa masuk buruh dari negara itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button