Berita Utama

Menteri mana beri jaminan Malaysia tak boikot produk Perancis?

Netizen tuntut Perancis mohon maaf hina Islam, Nabi ﷺ

BANGI, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Pihak berkuasa manakah yang memberi jaminan – kononnya Malaysia tidak akan membenarkan kempen memboikot produk Perancis?

Semalam, Kedutaan Perancis di Malaysia berkata, Perancis tidak memihak atau memburukkan mana-mana agama dan ia menjamin wujudnya kedamaian untuk semua penganut agama dalam kerangka undang-undang dan prinsip republik itu, ketika seruan umat Islam memboikot produk Perancis.

Kedutaan itu berkata, Presiden Emmanuel Macron tidak menyasarkan masyarakat Islam di Perancis tetapi hanya ideologi – Islamisme radikal – yang perlu diasing dan ditentang.

Kedutaan juga menyatakan terdapat beberapa personaliti cuba memulakan kempen antibarangan Perancis di Malaysia.

“Kami gembira dengan jaminan yang diberikan oleh pihak berkuasa bahawa kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan tindakan sedemikian,” katanya.

Kesal dengan keputusan itu, Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) membangkitkan persoalan siapa pihak yang bertanggungjawab terhadap jaminan berkenaan.

“Laporan dari akhbar milik kerajaan Malaysia, iaitu BERNAMA melaporkan kedutaan Perancis gembira dengan jaminan kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan kempen boikot barangan Perancis.

“Soalnya, menteri atau ‘pihak berkuasa’ Malaysia manakah yang membuat janji tersebut kepada kerajaan Perancis?

“Mustahil media kerajaan sebar ‘fake news’ tentang kerajaan sendiri,” katanya menerusi status di Facebok hari ini.

Sementara itu, tinjauan Ismaweb.net di media sosial mendapati rata-rata netizen mengecam jaminan itu bahkan sebulat suara mahu kempen boikot barangan Perancis dilaksanakan.

Bahkan ada juga yang menegaskan rakyat akan menggerakkan kempen antibarangan Perancis secara sendiri seperti gerakan ‘Buy Muslim First’ (BMF)

Salah seorang pengguna akaun Facebook dikenali sebagai Noran Caliq mendesak agar boikot semua negara yang menjatuhkan Islam.

“Kita minta semua umat Islam tidak kira bangsa di nusantara dan dunia kita beramai-ramai minta Perancis minta maaf,” katanya.

Safian Pian pula menyarankan mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membincangkan isu yang menghina Nabi serta mengeluarkan kenyataan dan tindakan bersama dengan menutup seluruh kedutaan dan perniagaan Perancis di setiap negara OIC.

“Baru satu dunia tahu akibat bila menyentuh Nabi dan agama Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button