Berita UtamaDunia

Rakyat Kuwait anjur kempen beli produk Turki

Sebagai tunjuk perasaan penghinaan Perancis terhadap Islam

KUWAIT, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Rakyat Kuwait melancarkan kempen membeli produk Turki sebagai sebahagian daripada tunjuk perasaan susulan penghinaan Perancis terhadap Islam dan Nabi Muhammad ﷺ.

Pengguna Twitter di negara Teluk melancarkan tanda pagar – hashtag – bagi mendorong pelanggan menggantikan produk Perancis dengan barangan Turki.

Aktivis juga turut terbabit sama dalam kempen itu dengan menyiarkan gambar komoditi Perancis untuk diboikot oleh pelanggan.

Menurut pengguna media sosial, kedai-kedai utama di Kuwait telah bertindak balas terhadap kempen boikot dan mengeluarkan produk Perancis dari rak mereka.

Bagaimanapun sehingga kini, tidak ada langkah rasmi oleh pihak berkuasa Kuwait untuk memboikot produk Perancis.

Ahad lalu, Menteri Luar Kuwait, Sheikh Ahmed Al Nasser Al Sabah bertemu dengan Duta Besar Perancis dan menggesa penghinaan terhadap semua agama monoteistik dan Nabi terutama dalam ucapan rasmi dan politik dihentikan.

Pada 2 Oktober lepas, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mencetuskan kontroversi terhadap dunia Islam apabila mendakwa muslim sebagai penganut fahaman pemisah dan menuduh Islam sebagai agama krisis di seluruh dunia.

Beliau juga mempertahankan karikatur mencerca Nabi Muhammad ﷺ, mengatakan Perancis ‘tidak akan menyerah kartun kami’ selepas pembunuhan guru sekolah menengah, Samuel Paty, yang menunjukkan karikatur provokatif di dalam kelas.

Ketika ini, gesaan untuk memboikot produk Perancis semakin meningkat di rantau Arab dan negara muslim beberapa hari selepas Macron menyatakan negara itu tidak akan melarang karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad ﷺ. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button