Berita Utama

Rasulullah ﷺ vaksin kurniaan Allah SWT

Baginda ﷺ bawa perubahan norma baharu dalam ketamadunan manusia

BANGI, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Kelahiran Rasulullah ﷺ lebih 1,400 tahun lalu adalah anugerah atau ‘vaksin’ kurniaan Allah SWT.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, rahmat vaksin pimpinan Rasulullah ﷺ membawa perubahan norma baharu dalam ketamadunan manusia, yang meliputi tiga aspek utama kehidupan iaitu akidahunggul, syariat yang syumul serta akhlak luhur.

Dalam soal akidah, Abdul Aziz berkata, Rasulullah ﷺ membawa perubahan besar kepada umat manusia dengan mengangkat martabat dan kemuliaan mereka daripada pandemik kejahilan yang bertunjangkan hawa nafsu, kesesatan dan penyembahan berhala kepada akidah suci yang mentauhidkan Allah SWT.

Beliau berkata, baginda ﷺ membawa risalah tauhid yang diiktiraf di sisi Allah SWT dan menjamin kebahagiaan di dunia serta akhirat.

“Inilah tugas utama barisan Rasul, iaitu menyeru umat manusia kepada akidah pengesaan dan pengabdian kepada Allah SWT semata-mata.

“Rasulullah ﷺ bermujahadah membawa umat manusia kepada akidah yang benar dan jalan yang lurus dengan penuh hikmah kebijaksanaan.

“Lantaran itu, Islam mampu bertahan sehingga kini dan bakal bangun pada masa hadapan. Inilah sifat akidah yang menjadi tunjangan kita beragama dan menolak segala bentuk kepercayaan syirik, khurafat dan karut,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Abdul Aziz berkata, vaksin dibawa Rasulullah ﷺ daripada aspek syariah berjaya merawat pandemik yang merosakkan sistem kehidupan umat manusia keseluruhannya – bermula dari soal keabdian, kekeluargaan, kemasyarakatan dan pemerintahan yang penuh bertamadun.

Beliau berkata, Rasulullah ﷺ bersungguh-sungguh menyampaikan risalah syariat Islam bermula dengan keluarga, sahabat dan kaum sehingga Islam berjaya ditegakkan sebagai sebuah sistem pentadbiran negara Islam.

Jelasnya, syariat Islam yang dibawakan oleh Rasulullah ﷺ adalah suatu sistem kehidupan yang komprehensif merangkumi segala aspek kehidupan manusia baik dalam sistem pentadbiran, perundangan, kewangan dan sebagainya.

“Islam menetapkan standard kehidupan yang terbaik dalam mengatur perjalanan hidup manusia di muka bumi ini. Bermula daripada fasa kelahiran hinggalah berakhirnya kehidupan seseorang manusia.

“Ini termasuklah aturan ditetapkan dalam hubungan manusia dengan Allah SWT dan hubungan manusia sesama manusia dengan penuh keseimbangan.

“Tidak mungkin syariat dibawa Rasulullah ﷺ ini adalah satu perkara yang sia-sia dan tidak mempunyai makna, sedangkan baginda ﷺ sudah bermujahadah dan berjuang untuk kebaikan ummah yang dicintai dan demi kesejahteraan seluruh alam,” katanya.

Dari segi akhlak, Rasulullah ﷺ berjaya menyuntik vaksin dengan mendidik umat manusia dari kejahilan menjadi insan mulia, membentuk kezaliman kepada keadilan dan mengubah kedegilan kepada bertimbang rasa, katanya.

Abdul Aziz berkata, baginda ﷺ menjadi teladan sempurna sepanjang zaman, yang mencakupi semua aspek demi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Katanya, syariat yang diturunkan oleh Allah SWT melalui baginda ﷺ pada mulanya kelihatan aneh dan ganjil pada pandangan hati manusia kerana wujudnya jurang yang jauh antara realiti hidup duniawi dengan realiti hidup rohani.

“Namun, akhirnya terbukti risalah itu membawa rahmat kepada tamadun manusia seluruhnya.

“Justeru, marilah kita berpegang teguh dengan dua ‘vaksin’ peninggalan Rasulullah ﷺ, iaitu al-Quran dan sunahnya yang menjadi teras utama panduan umat seluruhnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button