Berita Utama

Umat Islam ‘dipijak-pijak’ jika apologetik bila Islam dipersenda

Bersama kita pertahankan agama, Nabi daripada terus dihina

BANGI, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Gerakan memboikot produk keluaran Perancis menjadi petunjuk jelas negara-negara Islam akan kuat sekiranya mereka bersatu padu.

Serentak itu, umat Islam diingatkan untuk bertegas dalam mempertahankan agama serta Nabi Muhammad ﷺ daripada terus dihina.

Jangan sesekali mengambil pendirian berdiam diri kerana ia seumpama memaparkan jati diri sebagai seorang yang tiada maruah.

Atau lebih teruk lagi kata, jangan sampai menjadi tali barut atau benteng kepada mereka yang menghina, kata Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

“Apabila umat Islam bersatu padu dan mengatur langkah, mereka yang memusuhi Islam akan terkesan dengan sangat dahsyat. Lihatlah bagaimana Perancis rugi berbilion dollar sehingga pemimpin negara itu terpaksa merayu-rayu, walaupun mereka antara kuasa ‘superpower’ dunia.

“Dua pengajaran ini sudah pun juga terbukti di negara kita dalam pelbagai imbasan sejarah. Saya tidak mahu pergi jauh, lihat sahaja gerakan membantah ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum) dan cetusan gelombang BMF (Buy Muslim First) sahaja.

“Lihatlah bagaimana perpaduan antara kita mampu mengubah dan menguasai keadaan, sehingga berita-berita ini menggegar berita dunia dan menjadi inspirasi umat Islam di luar negara yang lain,” katanya menerusi ucapan Salam Maulidur Rasul hari ini.

Dalam kenyataan sama juga, Haji Aminuddin yakin umat Islam di negara ini akan ‘dipijak-pijak’ sekiranya menjadi apologetik, berpeluk tubuh dan lemah longlai apabila dicabar, dihina dan dipersenda.

“Dan pastinya akan sampai satu tahap, jangankan bangsa Melayu, tetapi Rasulullah ﷺ akan dihina dan dipersenda dengan begitu dahsyat sehingga menjadi bahan jenaka yang normal dalam masyarakat. Cuba bayangkan betapa hinanya jika kita berpeluk tubuh.

“Oleh itu, perasaan marah tatkala Rasulullah ﷺ dan agama Islam dipersenda itu adalah refleksi kepada sensitiviti kita terhadap agama kita.

“Sudah pasti, perasaan ini perlu dibatasi dengan syarak dan lunas undang-undang di mana sesuai boikot maka kita boikot, di mana sesuai kita lapor polis maka kita lapor polis, di mana sesuai kita berhimpun maka kita berhimpun dan sebagainya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button