Berita Utama

BERJASA ucap takziah pemergian Prof Emeritus Mohd Kamal

Jasa sebagai ilmuwan, sumbangan kepada UIA akan dikenang sepanjang masa

BANGI, 2 Syaaban 1444H, Khamis – BERJASA merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Allahyarham Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan atas pemergian beliau pada awal pagi Khamis.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia disebabkan komplikasi berkait rapat dengan prosedur surgeri.

“Jasa beliau sebagai ilmuwan dan sumbangan kepada Universiti Islam Antarabangsa (UIA) akan sentiasa dikenang dan dihargai setiap masa,” kata BERJASA dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamal ialah tokoh pemikir Islam yang memberikan sumbangan besar kepada dunia akademik, penyelidikan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Allahyarham yang dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1965 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.

Selain memegang amanah sebagai Rektor UIAM pada 1999 hingga 2006, Mohd Kamal turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi pagi Khamis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button