UMNO terus malang hingga hilang takhta parti politik terbesar
Kenapa lompat BERSATU, bukan PAN atau PKR?

BANGI, 12 Rabiulawal 1442H, Khamis – Parti Melayu terbesar – UMNO terus berdepan ancaman perpecahan apabila satu persatu ujian dihadapi – terutama selepas kecundang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
UMNO – yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 pernah berada di ambang keruntuhan dek kelibat pemimpin yang menjahanamkannya, masih bernafsu untuk kekal sebagai ‘frontliners’.
Namun, terus malang apabila begitu besar bilangan Ahli Parlimennya menyertai BERSATU, sekali gus menyebabkan UMNO hilang takhta sebagai parti politik terbesar.
“Kenapa mereka melompat ke BERSATU, tidak PAS, PAN atau PKR? Kerana pada ketika itu BERSATU yang ‘berkuasa’.
“Jelas sekali motif lompatan ialah kerana kuasa,” dakwa Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, apabila wabak berkenaan berhijrah melanda BERSATU, nyawanya pula bergantung kepada UMNO.
“Semua mata tertumpu kepada UMNO. Realitinya, UMNO masih dalam ‘Unit Rawatan Rapi’ (ICU) dek jangkitan kanser kepala dan duri dalam daging. Malah ia diambang untuk pecah lima, bahkan bakal pecah enam. Salah-salah hemat boleh berkubur dibuatnya.
“Secara peribadi, saya pun hampir-hampir hilang keyakinan terhadap kemampuannya untuk kembali menjadi parti keramat,” katanya.
Dalam pada itu, Hasan menyarankan BERSATU memilih untuk ‘mendamaikan’ semua sekutu dan seteru politiknya demi maruah bangsa, kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
“Hendaknya, BERSATU yang menerajui kerajaan, gunapakailah model ‘Presidential Council’ sebagai badan penasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinetnya, sekaligus mengelakkan dari ‘dipunahsihatkan’ oleh beberapa duri dalam dagingnya.
“Jika itulah realitinya, kerajaan kongsi-kuasa ini akan menjadi kerajaan yang miliki kekuatan tambah atau tolak 140 kerusi.
“Hendaknya yang ulung dihormati, yang bertoleransi dihargai, yang menyokong didengari,” katanya.