Berita Utama

PKPB: JAIS benarkan majlis akad nikah di PAID mulai Isnin

Namun begitu masih tertakluk kepada beberapa syarat tertentu

SHAH ALAM, 13 Rabiulawal 1442H, Jumaat – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan untuk memberi kelonggaran bagi pelaksanaan majlis akad nikah di seluruh negeri bermula Isnin ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa sehingga 9 Nov.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata majlis akad nikah boleh dilaksanakan di semua Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di seluruh Selangor dengan kehadiran dan jumlah temu janji yang terhad.

Katanya, pelaksanaan majlis akad nikah itu tertakluk kepada beberapa syarat iaitu pemohon telah mendapat Kebenaran Berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 daripada PAID; hanya pengantin lelaki, perempuan serta wali dibenarkan hadir untuk majlis berkenaan dan lima majlis akad nikah akan dilakukan dalam satu hari bermula Isnin hingga Jumaat.

“Antara syarat lain adalah kebenaran turut diberi kepada pasangan di negeri ini dan pengantin lelaki atau perempuan dari luar Selangor namun mereka perlu mendapatkan kebenaran merentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hanya majlis akad nikah yang mendapat kebenaran Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor sahaja akan dilaksanakan di PAID bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Justeru katanya, pihak terlibat boleh membuat temu janji majlis akad nikah dengan menghubungi PAID berkaitan.

Sebelum ini, JAIS menangguhkan majlis akad nikah di seluruh Selangor berikutan pelaksanaan PKPB berikutan peningkatan kes COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button